Thursday 27 July 2017

Time Zone, Alam Semesta dan Siapa Kita

Terbaca tentang Janna Nick salah mengutarakan komen tentang filem-filem Christopher Nolan di facebook wall seorang kawan.

Silapnya Janna Nick berikan komen, terus sahaja dicop sebagai buta sejarah dan bodoh.

Apapun, aku bukan nak sentuh pasal itu. Lagipun, aku tak baca habis pun tentang isu tu.

Bagi aku tak penting pun benda tu sebab komentar2 tu tak bagi benefit kat aku.

Yang menarik hati aku bila dia sebut pasal Christopher Nolan.

Once bila dia sentuh tentang filem Christopher Nolan, terus aku teringat filem Interstellar.

Siapa yang dah layan filem ni, angkat kaki. Filem ni memang slow dan agak panjang, 3 jam I guess.

Filem ni cerita tentang kasih sayang seorang ayah kepada anaknya. Tapi Nolan bawakan konsep kasih sayang ni dalam cara yang unik.

Kisah bermula bilamana si ayah, seorang mantan pilot NASA, dipanggil oleh NASA untuk jadi pilot semula.

Dipendekkan cerita, dia kena bantu angkasawan-angkasawan cari planet baru untuk manusia survive pada 48 tahun akan datang.

Kenapa manusia kena duduk planet lain?

Sebab NASA kaji ada satu wormhole besar yang akan hampiri bumi pada 48 tahun akan datang. Wormhole ni akan musnahkan bumi dan umat manusia.

Jadi, si ayah terpaksa tinggalkan anak dia berseorangan di rumah.

Tapi macam mana diorang berhubung? Jelajah ke angkasaraya memang makan masa yang lama. Boleh cecah ribuan tahun.

Kenapa? Jarak tahun cahaya dengan tahun bumi adalah berbeza.

Si anak terpaksa berhubung dengan si ayah melalui time zone. Dengan berbekalkan sedikit ilmu sains yang diajar oleh si ayah kepada anak, si anak cari time zone itu.

Sesekali mereka dapat berhubung, tetapi bukan melalui percakapan, melalui pergerakan time zone. Kalau korang nak lebih faham, tengok movie ni.

Cerita ni selitkan ilmu tentang time zone, black hole, wormhole, future, past, event horizon dan macam-macam lagi.

Ayah dia ambil masa hampir 60 tahun (correct me if Im wrong) bantu misi NASA.

Bayangkan, diorang nak jelajah dari satu planet ke kapal angkasa pun makan masa 23 tahun bumi, bersamaan dengan 2,185,000,000,000 km tahun cahaya.

Tapi soalnya berjaya ke si ayah bawa manusia ke tempat survive baru? Tidak. Anaknya yang berjaya selamatkan spesies manusia.

Dari kecik, passion anaknya adalah sains. Jadi, dia bawa passion dia tu sampai dia berjaya jadi seorang saintis. Anaknya berjaya cari solusi.

Semua manusia dibawa ke planet Zuhal untuk teruskan kehidupan. Itupun 60 tahun kemudian, baru dia
dapat jumpa anaknya, di planet Zuhal.

Si ayah kekal muda. Si anak pula semakin dimamah usia. Kenapa ayah tidak tua? Sebab time zone dan beza tahun di angkasa dan bumi.

Ayahnya jumpa anaknya yang lagi tua, bayangkan. Itupun beberapa minit sebelum anaknya meninggal.

Hari ini aku bagi review tentang movie ni bukan sebab ceritanya bagus, tapi sebab Nolan berjaya buktikan bahawa nak jelajah angkasaraya tu memang memakan banyak tahun.

Itu baru angkasa, bukan satu galaksi lagi. Kat luar sana ada berjuta-juta galaksi yang Allah cipta. Manusia masih gagal jelajah semua galaksi.

Satu galaksi kita ni pun kita masih belum dapat tembus, walaupun berapa juta trillion tahun cahaya pun.

Bayangkan, galaksi adalah seperti raksasa, yang bila2 masa boleh pijak kita, umat manusia yang hanyalah ibarat debu.

Kalau galaksi pun kita tak terbayang bagaimana besarnya, inikan pula Allah Yang Maha Besar. Sebesar apapun Allah, tiada siapa yang tahu, kecuali para Rasul. #Subhanallah

Kita ini manusia, tiada kuasa apapun. #Allah

Kita tak tahu dalam galaksi2 luar sana, adakah planet bumi. Adakah umat manusia seperti kita? Allah, terlalu banyak rahsia dunia yang masih tak dapat dirungkai. Hanya Allah yang mengetahuinya.

Dan uniknya, filem ni sampaikan walau berapa puluh tahun terpisah pun, kasih sayang antara ayah dengan anak tak terpadam sedikit pun.

Uniknya perasaan kasih sayang yang Allah cipta dalam hati kita.

Dan paling luar biasa lagi, time zone setiap manusia adalah berbeza.

Kita boleh ambil contoh dari filem ni, time zone antara ayah dengan anaknya untuk cari tempat manusia akan datang survive, adalah 60 tahun. Mereka nak jumpa lagi pun ambil masa 60 tahun.

Time zone kita pula untuk capai impian kita, ada yang umur 20 tahun dah jadi CEO, ada yang umur 50 tahun baru jadi CEO, ada yang umur 60 tahun baru dapat pangkat CEO.

Ada yang umur 20 tahun dah berkahwin dan dapat anak. Ada yang umur 30 tahun dah kahwin tapi masih belum ada anak. Ada yang umur 40 tahun baru dapat anak.

Ada yang umur 25 dah dapat beli rumah. Ada yang umur 50 tahun baru dapat beli rumah.

Begitu juga dengan rezeki. Ada yang dikurniakan rezeki yang cukup-cukup sahaja selama hidup di dunia.

Ada yang dikurniakan rezeki yang banyak ketika di dunia.

Tak mengapa. Semua ini Allah dah aturkan. Yang penting kau jangan sesekali putus asa cari rezeki dariNya. Yang penting kau berada dalam time zone kau yang betul.

Dah sedar tentang semua ini, jangan lupa istighfar dan bertahmidlah.
#Astafighullahhaladzim
#Alhamdulillah

Apapun yang kau buat, mesti ingat Allah. Letakkan Allah yang utama.

P/s: bukan agung2kan karya Christopher Nolan, tapi apa yang disampaikan boleh kaitkan dengan kehidupan seharian.

<!-- start --><script type="text/javascript" src="//babab.net/widget.js?limit=14"></script><!-- end -->

Monday 6 February 2017

Who Moved My Cheese?

Assalamualaikum dan hai semua bloggers. Apa yang saya nak ceritakan kali ni amat bermanfaat buat kita semua.
***
Saya baru sahaja khatam senaskhah buku motivasi karya Dr. Spencer Johnson, berjudul Who Moved My Cheese? Dalam gambar yang saya paparkan itulah tajuknya. Saya teruja untuk kongsikan dengan anda semua sebelum saya terlupa segalanya. Untuk pengetahuan, saya pinjam buku ini dari tempat kerja saya, atas nasihat penyelia saya untuk membacanya. Untung juga kerja di syarikat bisnes, ada banyak buku-buku motivasi.
 ***
Kalau tak nak baca dalam Bahasa Inggeris, anda boleh dapatkan dalam Bahasa Melayu terbitan PTS Professional. Dr. Spencer ni memang terkenal dengan penulisan buku-buku motivasi. Sebenarnya saya baru kenal beliau lepas baca buku ni. Selama ni saya takkan dan tak pernah baca buku-buku motivasi orang Barat.
 ***
Buku beliau siri ini menyentuh tentang perubahan. Konsep perubahan yang disentuh adalah general. Okey, cuba tanya diri anda adakah anda seorang yang peka dengan perubahan? Atau anda seorang yang cepat bertindak selepas mengesan perubahan yang berlaku? Atau anda seorang yang suka menolak perubahan? Atau anda seorang yang tak sukakan perubahan tapi anda cuba untuk gerakkan diri anda hadapi perubahan? Dah dapat jawapan anda di level mana? Masih tak dapat jawapan? Jangan risau. Ayuh kita cari jawapan sama-sama.
 ***
Konsep keju telah digunakan sebagai item kepada perubahan. Perubahan di sini adalah general, tak kira dari segi tempat tinggal, tempat kerja, kehidupan, persekitaran, perniagaan, kesihatan, kegembiraan dan sebagainya. Di sekeliling kita terdapat empat watak manusia yang berbeza ketika berada di fasa perubahan. Mereka ini adalah mereka yang cepat mengesan perubahan, mereka yang cepat bertindak seiring dengan perubahan, mereka yang menolak perubahan dan mereka yang tak mahu berubah tetapi cuba untuk menyesuaikan diri dengan perubahan.
 ***
Keju boleh beralih pada bila-bila masa. Manusia perlu sedar akan perubahan yang berlaku. Mereka yang cepat menghidu perubahan adalah mereka yang sudah bersiap sedia dengan perubahan yang berlaku. Contohnya, Ahmad dan Khatijah sudah 10 tahun berkahwin dan mempunyai 3 orang anak. Sejak 2 bulan yang lalu, Ahmad dan Khatijah sering bergaduh. Khatijah merasakan rumahtangganya tak akan bertahan lama. Tambahan pula, pergaduhan yang terjadi adalah bukan pergaduhan biasa. Khatijah telah merancang kewangan masa depan anak-anak mereka sejak awal kelahiran anak sulung jika mereka bercerai. Seminggu kemudian, Ahmad melafazkan cerai. Khatijah akur dengan perubahan ini. Dia mulakan hidup baru bersama anak-anaknya.
 ***
Itu dari segi kehidupan. Dari segi pekerjaan pula, staff yang cepat mengesan perubahan biasanya tidak akan menetapkan kerjanya pada sudut yang sama. Mereka akan sedar bila keju dialihkan.
***
Bagi mereka yang cepat bertindak mengikut perubahan pula, mereka ini sangat optimis, yakin dan tidak takutkan perubahan. Mereka hanya mengikut perubahan semasa tanpa peduli keadaan sekeliling dan cabaran yang menanti. Apa yang mereka tahu, mereka mesti dapatkan keju baru. Mereka tak menganalisis apakah dan siapakah punca kepada perubahan yang berlaku. Mereka cepat mencari jalan penyelesaian. Contohnya, anda berniaga mee goreng di pasar malam. Di sebelah anda ada seorang peniaga mee goreng hipster. Perniagaan anda terjejas disebabkan mee goreng hipster yang resepinya diperbaharui dengan kandungan keju, krim ais krim, kismis dan sebagainya. Pelanggan anda mulai susut dan membeli di gerai sebelah anda. Anda risau dengan kemerosotan perniagaan anda. Tetapi anda bijak. Anda orang yang cepat bertindak bila berlaku perubahan. Anda mula pelbagaikan mee goreng anda dan jadikan ia hipster, malah lebih sedap daripada mee goreng peniaga di sebelah. 
 ***
Dalam struktur organisasi, orang yang cepat bertindak lebih disukai majikan berbanding orang yang menolak perubahan. Mereka yang cepat bertindak mengikut perubahan berpotensi untuk kekal berada di dalam organisasi. Mereka cuba ubah cara kerja dengan lebih mantap.
 ***
Manakala, bagi mereka yang berperwatakan menolak perubahan lazimnya akan tertinggal jauh ke belakang. Mereka lebih suka memilih untuk kekal berada di zon selesa dan tidak cuba untuk mengubah diri seiring dengan perubahan sekeliling. Mereka lebih bersikap pesimis dan takut jika orang mengalihkan keju. Mereka akan menganalisis apakah dan siapakah punca kepada perubahan dan tidak cuba untuk bertindak. Orang sebegini lebih suka duduk menanti perkara lama yang selalu mereka hadapi kembali. Dalam syarikat, orang-orang sebegini tidak akan bertahan lama atau paling tidak mereka akan kekal berada di posisi mereka.
 ***
Jika anda nak lebih faham tentang watak manusia yang menolak perubahan, kita boleh jadikan kes ini sebagai contoh. Pak Ali membuka kedai runcit. Dia sudah lama membuka kedainya di situ dan hanya dia yang membuka gerai di situ. Kawasan itu sangat strategik, kedainya sentiasa dipenuhi dengan pelanggan. Pada suatu hari, sebuah pasaraya telah dibuka bertentangan dengan kedainya. Perniagaan Pak Ali mula merosot. Isteri Pak Ali, Mak Limah telah mencadangkan Pak Ali membuka beberapa cawangan kedai runcit, tetapi Pak Ali enggan terima cadangan itu oleh kerana takutkan risiko menanggung rugi yang banyak. Dia lebih selesa jika kedainya di situ sahaja. Akhirnya dia kekal di situ sampai terpaksa gulung tikar. 
 ***
Watak yang akhir adalah mereka yang tak suka atau takutkan perubahan, tapi berusaha untuk menyesuaikan diri dengan perubahan. Pada mulanya mereka bersikap pesimis, tetapi berubah menjadi optimis setelah membayangkan impian yang bakal dicapai jika keju baru berjaya dicapai. Mereka cuba mengatasi rasa takutkan cabaran untuk menghadapi perubahan dan cuba majukan diri. Okey, saya jadikan situasi saya sebagai contoh untuk anda lebih faham. Saya baru sahaja bekerja selama 3 minggu di sebuah syarikat ini. Bekerja bukan bermaksud saya diterima sebagai pekerja tetap, tetapi sebagai trainee pada permulaannya.
***
Fasa perubahan pertama yang saya terpaksa tempuhi adalah budaya kerja yang speed. Untuk makluman, saya bukanlah seorang yang buat kerja cepat. Saya bukanlah jenis yang suka serius bila buat kerja. Banyak kelemahan dalam kerja saya. Banyak yang menegur cara kerja saya. Saya mempunyai karakter dove yang tinggi, jadi saya tak sukakan perubahan. Saya alami kejutan dengan situasi ini dan mula sedar dunia belajar dan internship takkan sama dengan alam pekerjaan. Lantas apa yang saya buat? Berpatah balik dan stay di zon selesa saya? Saya cuba tak amalkan istilah dan cara itu dalam hidup. Kiranya saya sedang dalam fasa menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku.
***
Perubahan kedua yang saya kesan yang berlaku di sekeliling saya adalah saya kini tidak berada di jalan yang saya kehendaki. Banyak kelemahan yang berada di dalam perubahan yang saya alami. Persekitaran, masyarakat sekeliling, cara hidup dan sebagainya. Bila saya lihat semua ini, saya sedar saya mula menjalani kehidupan orang dewasa. Tetapi apa yang boleh saya buat? Saya tak nak jadi orang yang menolak perubahan. 
 ***
Perubahan ketiga yang berlaku adalah bila saya perlu memberanikan diri untuk menerjah ke dunia pekerjaan apabila saya sendiri tidak bersedia. Bila saya tak bersedia, saya terkejut dengan budaya kerja di luar. Sistem pekerjaan di setiap organisasi adalah berbeza. Ada yang teratur dan tidak teratur. Ada yang ingin cepat dan lambat. Tetapi performance kita dinilai berdasarkan cara kerja yang bagus dan bersistematik. 
 ***
Perubahan keempat yang saya perlu hadapi adalah dari segi penampilan. Sejak masuk universiti, saya terbiasa berpenampilan formal. Malah, bila saya internship di MATRADE, saya masih kenakan penampilan formal. Tapi bila masuk syarikat swasta sebegini, saya terkejut pekerja lelaki hanya memakai tshirt dan jeans. Pekerja perempuan pula baju seperti biasa, tetapi mengenakan jeans. Pekerja lelaki hanya datang kerja pakai selipar. Pernah saya tanya rakan sepejabat, "Kat sini pakaian memang tak formal ke?" Tapi dia cuma jawab tak tahu. Saya cuba tenang hadapi situasi ini walaupun pelik dan tertanya-tanya syarikat ni betul-betul tak wujudkan etika pemakaian waktu pejabat ke? Tambah hairan bila pejabat sebelah pekerjanya semua berpakaian formal, tetapi syarikat saya bekerja pekerja semua pakai tak formal, sedangkan dua-dua pejabat. Saya cuba berfikiran terbuka tentang ni dan menganggap saya ketinggalan zaman bila terpaksa mematuhi etika pemakaian sejak alam universiti. Saya cuba membiasakan diri untuk berpakaian tak formal.
 ***
Maaf kerana entri kali ini cara penulisannya lebih kepada pengenalan personaliti diri. Inilah pemahaman saya berdasarkan pembacaan dari buku itu. Jadi anda dah dapat jawapan anda mempunyai watak yang mana jika berada dalam fasa perubahan? Apapun watak anda, anda boleh mengubah cara anda menghadapi perubahan. Sentiasa tenang menghadapinya. Saya harap perkongsian saya ni bermakna buat anda.

Sunday 1 January 2017

New Chapter

Hello, guys!
After 4 months and here I am. Finally finished my internship although not officially because there are some other important things need to be done. Of course I enjoyed over the period as I gained a lot of knowledge and experience. The internship gave me chance to enlarge my circle of friends and colleagues and enhance my interpersonal and soft skills. Learning different behaviors is something exciting to me. How it feels to leave the organization? I feel so rough, so sad because they always cheer me up. A lot of memories I need to keep alive. However, I hope I can be the best worker for my future undertakings by applying all of the experience. Here is why the internship is very important to students. Students should aware about the real world of working industry before jumping into it. All of what I said is only a little, students have to grab the opportunity. Fresh ideas, proactive and teamwork are a few of very important things that students should have and improve. Now I am changing into a new chapter of my life. My dad keep asking me what is my decision? Further studies or find a job? I don't know. But I started to pass my resume to some companies and apply for furthering in masters in some local universities. By the way, a writing and publishing company called me for an interview on this Wednesday. Now I am preparing to write a 300 words essay for 20minutes, but I don't know what title they will give to me. Oh Gosh! Hope I can do it. Although it is non-related to my field, but my family and I think it is good for me to jump out from the actual field and gain new experience. I will and always love to learn something new as long as I love writing. Please pray for my best, guys! For my juniors especially in the International Affairs field out there, all the best for your internship and future career.

Tuesday 23 August 2016

Hello, Intern!

Lama sudah aku tidak membuat nukilan di sini...

Hari ini genap 4 hari aku menjalani latihan industri atau praktikum atau lebih sinonim dengan nama latihan praktikal dan dalam bahasa Inggerisnya adalah 'internship'. Dua hari orientasi dan lepas tu aku berpisah dengan kawan-kawanku, mengikut department masing-masing. Hari ini genaplah 2 hari aku berada di department yang telah ditetapkan. First impression orang-orang pejabat tentang bidang pengajian aku dan department yang aku ditempatkan, "Bidang awak perhubungan antarabangsa, tapi mengapa ditempatkan di bahagian admin?" supervisor department aku bertanya. "Kenapalah awak ditempatkan di sini ya? Awak lebih sesuai di bahagian desk", orang lain pula memberi komen. Aku hanya boleh menjawab "Saya tak pasti. Saya hanya mengikut di mana Puan Huda letakkan saya". Yang pastinya, di dalam surat tawaran dan perjanjian sudah tertakluk bahawa aku mungkin ditempatkan di dalam bahagian yang luar daripada bidang pengajian aku. Di sinilah harus disedari oleh generasi sekarang bahawa bidang pekerjaan tidak semestinya selaras dengan kelulusan kita. Tapi, aku tetap gembira. Dapat kenal dengan orang-orang pejabat di bahagian aku, dapat kenal tempat intern aku ni dan dapat kenal supervisor aku yang masih muda tu. First day semalam tiada sebarang kerja, agak bosan juga. Sesekali Chief Club (CC) bawa aku pergi ronda-ronda tengok events yang sedang berlangsung. Tempat ini memang banyak events yang berkaitan dengan perdagangan antarabangsa, jadi, aku dapat kutip pengalaman melalui penyertaan dalam events yang berlangsung. Boleh dikatakan setiap minggu ada events. Event terbesar yang akan berlangsung adalah 13th China Expo. Aku juga akan terlibat dalam event ini. Hari ini tak banyak attend event sebab supervisor dan CC agak sibuk. Dan setelah beberapa jam aku duduk goyang kaki, akhirnya sampai juga tugasan buat aku, iaitu kira invois tempahan makanan koperasi oleh warga pejabat untuk mesyuarat. Okey guys, I think that's all this time. Have a nice day!

Sunday 3 April 2016

Hadiah Untuk Ayah


                      
OLEH: FATEEN NURILLIA YAHYA
Alunan petikan gitar bermelodi melankolik itu mengisi kesunyian halaman rumah yang kelihatan tenang. Hatiku yang sejak tadi tenang kini bernada sedih, seiring dengan petikan gitar akustik itu. Dari jendela bilik, mataku tertangkap kelibat ayah yang sedang duduk di atas pangkin sambil memetik melodi Salam Terakhir pada gitarnya. Wajahnya pula kelihatan tenang, namun, aku dapat membaca segala-galanya. Di sebalik ketenangan wajah itu ada sejuta duka yang bermukim di hatinya. Ini bukan kali pertama aku melihat ayahku begitu. Sudah bertahun-tahun lamanya dia begitu. Mungkin juga sebelum aku lahir dia sudah begitu. Setiap hari, pasti tidak lekang gitar berusia lebih 40 tahun itu dari tangannya.
     “Ayah kau tu sebenarnya nak jadi pemain gitar, tapi atuk dan nenek kau tak benarkan. Hidup keluarga ayah kau tak cukup makan. Nak tubuhkan pancaragam, bukannya pakai air liur aje.”
     Aku teringat kembali kata-kata emak ketika aku menolongnya memasak makanan tengah hari tadi. Benar, hidup keluarga ayah begitu daif. Lebih daif berbanding dengan kehidupan kami sekeluarga sekarang. Tetapi bagiku, tiada apa yang dapat menghalang ayah untuk mencapai impiannya itu. Aku pasti ayah kurang keyakinan diri sehingga dia menyerahkan segalanya kepada takdir yang sememangnya tidak menggembirakan hatinya. Bagiku, tiada apa yang dapat menghalangku untuk mencapai impian asalkan impianku itu tidak salah. Walau bagaimanapun, tatkala melihat keadaan ayah, hatiku kadang kala berasa terluka juga. Aku terluka kerana tidak pernah dapat menggembirakan hati ayah. Selama ini, jika aku dan tujuh orang adikku mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan, ayah melahirkan rasa gembira, tetapi aku tahu perasaan itu palsu semata-mata. Mungkin adik-adikku tidak perasan, tetapi aku lebih memahami ayah. Semakin dewasa, semakin aku mengerti tentang ayah.
     “Kaklong, ada surat sampai tadi untuk kau. Mak letak kat tepi tv.”
     Emak meraung dari dapur ketika aku pulang dari mengaji al-Quran di surau. Aku menuju ke televisyen dan membuka surat yang bercop itu. Hatiku semerta menjadi riang. Impianku telah menjadi kenyataan. Aku memeluk kemas surat itu di dada, namun, hatiku berubah menjadi sayu tatkala sealunan melodi melankolik menyapa telingaku. Ayah sedang memetik gitar di ruang tamu. Aku menjadi sedih tiba-tiba. Aku terkenangkan ayah yang tidak dapat mencapai impiannya sepertiku. Ayah mengerah keringatnya di sawah ketika petang sahaja. Jika tidak ke sawah, begitulah keadaannya. Emak pula sentiasa berleter tentang sikap ayahnya yang baginya sudah lupa tanggungjawab.
     Hari berganti hari, hari ini sudah tiba masanya untuk aku meninggalkan keluarga di kampung dan mencapai cita-citaku. Walaupun masih sedih, aku terpaksa demi impianku. Aku perlu mengubah nasib diri dan keluarga. Bidang perubatan adalah pilihanku kerana aku cemerlang dalam matematik tambahan, biologi, kimia dan fizik dalam STPM.
     “Jaga diri baik-baik. Ingat keluarga selalu.”
     Ayah berpesan ketika menghantarku ke stesen bas. Ibu pula tidak henti-henti mengalirkan air matanya. Aku hanya menahan sebak sambil berfikir ini bukanlah kali terakhir aku pergi dari sini. Tetapi aku risau jika aku ‘pergi’ dahulu tanpa sempat membuat ayah gembira. Aku tahu walaupun ayah tidak gembira, tetapi ayah berbangga memperoleh anak-anak yang pintar.
     Sudah kira-kira empat bulan aku menjejakkan kaki ke menara gading. Di sana, aku mengenali seorang sahabat lelaki. Walaupun bukan dalam bidang pengajian yang sama, kami tetap rapat, namun, batas-batas pergaulan sentiasa menjadi pedoman kami. Dia sentiasa menolongku kala susah. Dia sentiasa ada denganku kala senang. Dia sentiasa menyokong dalam apa jua jalan yang aku pilih. Setiap budinya aku hargai. Walaupun hidupnya lebih senang daripadaku, dia tidak kisah berkawan dengan golongan yang tidak setaraf dengannya. Aku bersyukur kerana dikurniakan sahabat lelaki yang baik sepertinya.
     “Murni, mama aku ajak minum petang. Kau ikutlah sekali.”
     Suatu petang, Muaz mengajakku ke rumahnya. Sepanjang berada di rumahnya, aku terusik dengan sikap Muaz yang pandai melayan mama dan papanya. Kedua-dua orang tua itu begitu dihormatinya. Aku melihat lelaki itu berusaha sedaya upaya membuat mama dan papanya gembira. Aku kembali terkenangkan ayah. Aku tidak pernah menggembirakan hati ayah seperti yang Muaz lakukan. Aku tidak tahu bagaimana mahu menggembirakan hati ayah.
     Setelah hampir setengah tahun menuntut di universiti, cuti semester pun tiba. Aku pulang ke rumah untuk tempoh sebulan. Sepanjang tempoh itu, aku mengisi masaku dengan bekerja di kedai runcit dan menolong ayah di sawah. Penat memang tidak boleh dinafikan, tetapi aku tiada jalan lain untuk mendapatkan wang. Aku memerlukan wang untuk menampung perbelanjaanku di universiti. Aku tidak boleh mengharapkan biasiswa semata-mata. Pada setiap pagi aku akan ke kedai runcit dan petang pula ke sawah.  Petang itu, setelah penat membanting tulang di sawah, aku pulang ke rumah. Ketika keluar dari bilik dan bersiap-siap untuk menyucikan diri, aku terdengar ayah menjerkah ibu di dalam bilik.
     Hatiku pantas diserang gemuruh. Seingatku, inilah pertengkaran paling hebat antara ibu dengan ayah. Selama ini, tidak pernah ayah menjerkah ibu sebegitu rupa. Ketika aku berusaha memadam rasa gemuruh, aku lihat pintu bilik ibu dan ayah dikuak dengan kasar. Aku lihat ayah sudah menjejakkan kaki keluar dari rumah. Ibu pula kulihat sudah terduduk lemah di atas lantai biliknya sambil menangis teresak-esak. Aku menenangkan ibu yang sudah pasti terluka dijerkah oleh ayah. Aku tidak dapat menerima hakikat bahawa ibu telah membuang gitar tua ayah yang dianggap telah membuatkan ayah alpa dengan tanggungjawabnya.
     Aku keluar dari rumah dan berusaha mengejar ayah. Dari jauh pandanganku tertangkap jasad ayah yang sedang memeluk erat gitar tua yang sudah hancur di tepi sebuah tong sampah. Pada wajah ayah, mengalir setitis demi setitis air mata yang tidak pernah aku lihat selama ini.  Esakan demi esakan yang lahir daripada ayah telah membuatkan hatiku pilu. Sambil pulang ke rumah, pipiku sarat dengan aliran air mata. Luluh hatiku tatkala melihat ayah begitu.
    Tabung duitku aku pecahkan. Aku segera menuju ke bandar. Aku mahu menamatkan kesedihan ayah pada saat itu juga. Sebuah kedai peralatan muzik aku kunjungi. Demi ayah, aku sanggup melakukan apa sahaja. Gajiku selama menjadi pesawah dan pekerja kedai runcit aku campur dengan baki wang biasiswa yang masih ada separuh di dalam akaun. Sebuah gitar elektrik berharga RM1500 aku beli untuk ayah. Harapanku, semoga pemberian yang tidak seberapa ini akan membuatkan hati ayah gembira.
     Aku menerima perkhabaran yang ternyata di luar jangkaanku ketika sampai di rumah. Aku keluar dari rumah setelah menerima perkhabaran mengejut itu. Gitar elektrik yang baru dibeli, aku bawa bersama.
     “Ayah kau telah pergi dari sini. Mak sudah diceraikannya.”
     Aku mengingati kata-kata emak yang sedang dalam esak tangisnya. Sungguh aku tidak sangka keluargaku bisa hancur hanya kerana hancurnya gitar tua itu. Aku berusaha mengejar ayah yang entah berada di mana. Penat mencari, aku tetap tidak menjumpai ayah. Hari sudah lewat malam. Aku bermalam di surau yang berdekatan.
     Aku kembali mencari ayah keesokan harinya di bandar. Penat mencari, akhirnya pandanganku tertangkap kelibat ayah yang sedang minum pagi di sebuah warung.
     “Ayah nak jadi sehebat Slash. Buka mata dunia dengan kehebatan ayah, tapi apakan daya, impian ayah tak dimakbulkan Tuhan.”
     “Jangan salahkan Tuhan, ayah. Tuhan dah berikan ayah sebuah gitar untuk mencapai impian, tapi ayah tak berusaha meraih impian ayah. Tak semua yang kita impikan datang bergolek begitu saja.”ujarku dalam nada sayu.
     Suasana bising di warung itu tidak sedikit pun mengganggu kami untuk saling meluahkan rasa. Gitar elektrik yang setia bersamaku, aku berikan kepada ayah. Semoga pemberian itu dapat menjernihkan kembali hubungan ibu dan ayah. Semoga kehadiran gitar itu dapat mendorong ayah merealisasikan impiannya. Wajah ayah perlahan-lahan bercahaya seperti matahari yang menyinari segenap isi bumi kala menerima gitar itu. Sebuah senyuman penuh gembira lahir pada wajahnya. Mungkin aku tidak mampu memberikan gitar tua ayah kembali. Mungkin aku tidak mampu menubuhkan pancaragam seperti yang diimpikan oleh ayah, tetapi aku gembira kerana aku mampu melahirkan kegembiraan buat ayah.
     ‘Terima kasih, Ya ALLAH kerana KAU telah menolongku membuat ayah bisa tersenyum lagi. Terima kasih juga kerana telah menyatukan emak dan ayahku kembali.’

Monday 28 March 2016

Discuss

Great minds discuss ideas.
Average minds discuss events.
Small minds discuss people.
~Eleanor Roosevelt

Saturday 26 March 2016

Keranamu Ayah



Oleh: Fateen Nurillia Yahya
Aku termenung di jendela. Bunyi kicauan burung dan cuaca yang tenang pada hari ini telah menenangkan jiwaku. Dalam keenakan menikmati suasana tenang itu, tiba-tiba di telingaku terngiang-ngiang kembali setiap patah kata Tok Abah.
     “Kita harus mencari sesuatu untuk mempertahankan sesuatu.”
     Itulah kata Tok Abah. Sebenarnya, itulah jawapan Tok Abah setiap kali aku mempersoalkan perbuatannya yang tidak jemu-jemu melatih aku dalam pelbagai kemahiran ketenteraan yang dimilikinya. Dia melatih aku sejak kecil sehinggalah aku mahir, tetapi aku masih tertanya-tanya mengapa Tok Abah membuat begitu. Sudah 17 tahun aku menyoal perkara yang sama kepadanya, namun, jawapannya tetap sama. Aku juga hairan mengapa aku dilahirkan tanpa bapa, tidak seperti kanak-kanak yang lain, malah, Tok Abah, Tok Ma dan ibu tidak pernah bercerita tentang bapaku. Sepanjang 17 tahun hidup di sini, aku mengetahui tentang Tok Abah yang merupakan bapa kepada bapaku dan merupakan seorang bekas tentera darat yang pernah berjuang membebaskan tanah air daripada dirampas oleh komunis.
     “Zahara, masa untuk berlatih. Jangan buang masa.”ujar Tok Abah dengan tegas ketika memasuki bilik aku.
     Aku hanya menurut perintah Tok Abah yang sememangnya garang dalam lembut itu. Aku tidak mahu buat perangai. Aku pernah diselam di dalam lumpur kerana tidak mematuhi arahan. Aku juga pernah diikat di pokok kerana tidak berlatih. Aku juga pernah disebat hingga berdarah kerana tidak melakukan latihan dengan betul.  Hari ini aku hanya perlu berlatih sehingga tengah hari sahaja kerana Tok Abah ingin pergi memburu haiwan di hutan yang berhampiran rumah kami.
     Lazimnya, Tok Abah mengambil masa selama dua hari untuk memburu di hutan, tetapi hari ini aku, Tok Ma dan ibu dikejutkan dengan berita Tok Abah dibawa pulang dari hutan. Kami terkejut kerana tidak sampai sehari Tok Abah ke hutan, dia sudah dibawa pulang ke rumah.
     “Tok Abah kena tembak.”ujar Syahril.
     Pemuda berusia 24 tahun itulah yang membawa Tok Abah pulang. Memang pemuda itu sering memburu haiwan dengan Tok Abah. Aku menangis sambil menggenggam erat tangan Tok Abah yang sedang bergelut dengan kesakitan di dadanya. Tok Ma dan ibu pula sama-sama membisikkan kalimah syahadah ke telinga Tok Abah.
     “Jagalah Tok Ma dan ibumu, Zahara. Lindungilah kedua-dua mereka. Ingatlah, kita harus mencari sesuatu untuk mempertahankan sesuatu.”
    “Tapi, Tok Abah…”
     “Pergilah dari sini dengan Tok Ma dan ibumu. Jangan datang ke sini lagi.”pesan Tok Abah dalam nafas terakhirnya.
     Aku menelan juga peristiwa pemergian Tok Abah walaupun amat payah dan perit. Tok Abah sudah selamat disemadikan di pusara. Kini aku, Tok Ma dan ibu telah memulakan hidup baru di tempat yang baru, seperti yang dipesan arwah Tok Abah. Aku juga telah menabur tenagaku sebagai guru Pendidikan Jasmani di sebuah sekolah menengah sejak sebulan yang lalu. Kerja sebagai guru PJK tidaklah sukar bagiku kerana sudah lumrah dalam hidupku yang sejak kecil dilatih seperti seorang askar. Ada ketikanya aku terlalu garang dalam mengajar anak-anak muridku, seperti arwah Tok Abah.
     “Syafiq, kaki kiri awak bergerak! Pumping 10 kali sekarang!”arahku dengan garang.
     Hari ini aku telah melatih anak-anak muridku dalam permainan bola jaring. Pertandingan bola jaring akan diadakan tidak lama lagi.
     “Amboi, garang sungguh.”tegur seorang guru PJK lelaki.
     Aku tersenyum mendengar teguran itu. Selama sebulan mencurahkan bakti di sekolah itu, guru lelaki itu sentiasa mahu menarik perhatianku dengan pelbagai cara yang dilakukan. Aku pula hanya buat tidak endah walaupun sesekali gayanya itu menarik hatiku untuk berkenalan dengannya. Oleh kerana tidak tahan dengan layanan yang diberikan, aku akhirnya menerima salam perkenalannya. Aku mula menjalin persahabatan dengannya. Aku mula berani menghadiri temu janji yang diatur oleh lelaki itu. Aku juga sudah berani menjejakkan kaki ke rumahnya tanpa ragu-ragu.
     “You duduk dulu, I pergi buat air.”
     Aku duduk di sofa sambil melihat sebuah gambar di dalam bingkai di atas sebuah meja kayu yang agak usang. Mungkin juga itu gambar keluarga lelaki itu. Entahlah, aku juga tidak tahu. Lantas, aku terkenangkan keluargaku yang tidak lengkap. Aku tidak berbapa. Aku tidak pernah merasai kasih sayang seorang bapa. Lamunanku tercantas tatkala aku menyedari ada sebilah pisau sedang menyentuh leherku.
     “Kalau melawan, I akan rogol dan bunuh you.”
     Aku tidak kecut perut dengan ugutan guru lelaki itu. Pesanan Tok Abah supaya sentiasa tenang kala berdepan dengan musuh berlegar-legar di otakku. Aku tidak tahu sejak bila lelaki itu berada di belakang. Dengan perlahan-lahan, aku mengenggam kuat lengan lelaki itu dan melambungkan tubuhnya ke hadapan. Pisau yang tadi berada di leherku, aku tujahkan ke dadanya. Lelaki itu mengaku tewas.  Aku keluar dari rumah itu setelah tahu mengapa Tok Abah dibunuh. Lelaki tadi telah aku bunuh setelah tahu dia diupah untuk membunuhku. Benakku lantas memikirkan tentang Tok Ma dan ibu. Nyawa mereka tidak selamat sekarang.
     “Arwah ayahmu seorang ahli kumpulan mafia dulu. Dia telah membelot kerana ditipu oleh ketua mafia dan membunuh semua keluarga ketua mafia. Dia telah dibunuh oleh ketuanya ketika kamu masih dalam kandungan.”
     “Ketua mafia berjanji mahu membunuh semua ahli keluarga ayahmu.”
     Begitulah kata Tok Ma dan ibu setelah aku mendesak mereka untuk bercerita tentang bapa. Kini aku mengerti akan kalimah Tok Abah, ‘kita harus mencari sesuatu untuk mempertahankan sesuatu.’ Menurut Tok Ma, Tok Abah mencari sesuatu dalam diriku dan telah menemui semangat yang kental dan tekad yang ku`at lahir dalam jiwaku, kerana itulah Tok Abah melatihku untuk mempertahankan diriku, Tok Ma dan ibu daripada dibunuh. Mereka tidak menjawab apabila aku bertanya mengapa ketua mafia itu tidak membunuh mereka pada masa itu juga.
    Aku berjanji selagi nyawaku masih ada, aku akan mempertahankan nyawa keluargaku. Aku mengembara demi menyudahkan perkara yang tidak selesai. Tok Ma dan ibu aku tinggalkan dengan janji akan mengirim surat pada setiap minggu. Semua simpanan aku bawa untuk keperluan semasa mengembara. Aku berjaya mengembara ke Beijing, Laos, India…dan kini, aku sudah berada di New York City, USA. Walaupun tidak tahu di mana ketua mafia itu berada, aku tetap tidak berputus asa untuk menjejakinya. Kata ibu, ketua mafia itu boleh berada di mana-mana sahaja di luar negara. Aku juga tahu  nyawaku menjadi taruhan, tetapi aku tidak pedulikan semua itu. Sudah seminggu aku berada di New York, simpanan aku sudah mula berkurangan. Aku mendapatkan kerja sebagai seorang pelayan di sebuah restoran bagi menampung perbelanjaan harian.
     Aku memakai seragam pelayan dan mengenakan topi. Dari jauh kelihatan seorang pemuda baru sahaja melabuhkan duduk di sebuah meja. Aku melayan lelaki itu. Usai sahaja lelaki itu selesai makan dan berlalu dari restoran itu, aku mengemas meja itu. Aku perasan di atas meja itu ada secebis kertas yang tertulis sebaris nombor telefon. Aku faham apakah maksudnya itu. Sejak aku menerima nombor telefon itu, semakin kerap lelaki itu datang ke restoran itu. Aku tidak melayan semua tingkah lakunya. Pengalaman yang lepas telah mengajarku agar tidak mempercayai lelaki dengan mudah. Oleh kerana aku tidak melayan, dia sanggup mengekoriku sehingga ke dapur restoran.
     “Tolong hentikan semua ni.”ujarku dengan tegas apabila lelaki itu masih mengekoriku ke dapur.
     “Boleh, tapi awak kena kawan dengan saya. Awak boleh percayakan saya.”
     Aku menerima Ashraf sebagai kawan dalam berhati-hati. Aku mula mengenali Ashraf yang jujur dan amat mementingkan masa. Pernah pemilik sebuah pasaraya di New York itu melenting kala aku terlewat datang ke tempat temu janji. Kejujuran pemuda itu tidak pernah aku lihat ada pada lelaki lain.
     “Ash, saya percayakan awak. Saya nak awak tolong jaga Tok Ma dan ibu saya.”
     Walaupun lelaki itu tidak tahu mengapa dia disuruh menjaga Tok Ma dan ibu, namun, lelaki itu hanya menurut permintaanku. Dia sanggup buat apa sahaja demi persahabatan aku dan dia. Kisah yang sebenar terpaksa aku rahsiakan. Walaupun pengembaraanku atas tujuan lain, namun, aku dapat mengenal pelbagai budaya dan bergaul dengan pelbagai kaum. Budaya masyarakat sekeliling telah mengajarku erti hidup yang sebenar. Aku telah belajar cara hidup berdikari. Tidakku nafikan hidup di negara orang telah menjadikan aku lebih matang. Aku masih meneruskan pekerjaanku sebagai pelayan. Aku mengemas sebuah meja makan. Di atas meja itu tertampal sekeping nota yang tertulis ‘pandang depan’. Mustahil nota itu daripada Ashraf. Lelaki itu tiada di New York kerana menjaga Tok Ma dan ibu. Aku mula berasa tidak sedap hati.
     Tanpa memandang ke hadapan seperti yang dipinta, aku bergegas berguling dan menyorokkan diriku di belakang sebuah tiang yang berdekatan. Sebutir peluru C4 nyaris mengenaiku dan telah menembusi kepala seorang juruwang di kaunter restoran. Jika aku tidak lari, aku akan terbunuh. Dari jauh kelihatan seorang ‘jurukamera’ lelaki meninggalkan restoran itu dengan tenang. Suasana yang tenteram serta-merta menjadi hingar-bingar. Semua pelanggan menjadi panik.
      Nyawaku tidak selamat lagi.  Aku segera berlari pulang ke rumah sewa.
     “Hai.”
     Seorang gadis yang mendakwa sebagai penyewa baru telah berdiri di muka pintu rumah sewa itu. Aku dapat membaca setiap gerak laku gadis itu. Mungkinkah gadis itu turut diupah untuk membunuhku? Aku lantas menangkap dan memeluk kemas tubuh sambil memaut lehernya dengan kuat. Tubuh gadis itu kurebahkan ke lantai.
    “Kat mana ketua mafia tu?”
     Aku menekan tulang punggung gadis itu sehingga patah dengan kakiku apabila gadis itu enggan memberitahu.
    “Berlin, Jerman.”
     Gadis itu menjawab setelah tidak tertanggung menahan sakit. Aku mematahkan leher hingga gadis itu mati dan terus mengembara ke Berlin. Aku menuju ke sebuah gereja yang didiami ketua mafia itu, seperti yang didakwa gadis itu. Puas aku mencari, namun kelibat ketua mafia itu masih tidak aku jumpa. Aku membaca tulisan di atas sekeping poskad yang telah diberi oleh seorang kanak-kanak perempuan sebentar tadi.
     ‘Memburu seseorang yang tak pasti berada di mana hanyalah membazir masa dan tenaga. Lebih baik fikirkan keselamatan keluarga awak.’
     Dua ayat yang tertulis di poskad itu pantas memasuki otakku. Mungkin juga ketua mafia yang telah menghantar poskad itu. Daripada catatan di poskad itu, aku pasti bahawa ketua mafia itu berada tidak jauh dari tempat Tok Ma dan ibu disembunyikan. Tanpa berfikir lagi, aku terus terbang pulang untuk menyelamatkan Tok Ma, ibu dan Ashraf.
    Nyawaku seakan-akan disentap tatkala aku memasuki tempat persembunyian Tok Ma dan ibu. Kedua-dua insan yang paling aku sayang sudah tiada lagi. Aku melihat Ashraf sedang merangkak-rangkak dengan keadaan berlumuran darah sambil mengerang kesakitan di dada dan lututnya yang telah ditembak. Tanpa menghiraukan awan mendung yang menyelubungi hatiku, aku memangku Ashraf yang sedang menderita. Segumpal perasaan bersalah pantas menghurungi hatiku sambil setitis demi setitis air jernih keluar dari mataku. Aku bersalah kerana telah menyusahkan hidup Ashraf. Lelaki itu telah mempertaruhkan nyawanya demi Tok Ma dan ibu.
     “Saya minta maaf, Zahara. Tapi janjilah, saya sahabat awak selamanya.”
    Setelah mengungkap kata-kata itu, Ashraf pergi jua ketika di pangkuanku. Aku telah kehilangan satu-satunya kawan yang tidak ternilai buatku. Seketul perasaan amarah memukul hatiku. Aku telah bertekad. Aku harus mengejar ketua mafia itu sehingga di akhir garisan. Aku teringat kembali pesanan Tok Abah.
     “Pergilah dari sini dengan Tok Ma dan ibumu. Jangan pernah lagi datang ke sini.”pesan Tok Abah dalam nafas terakhirnya.
      Aku amat pasti ada sebabnya mengapa Tok Abah tidak membenarkan aku, Tok Ma dan ibu kembali lagi ke tempat tinggal lama kami. Aku menuju ke perkampungan lama kami dengan sebuah trak lama milik Tok Abah yang sememangnya sudah lama tersadai di tempat itu. Sepanjang perjalanan ke sana, aku tertanya-tanya mengapakah Tok Abah berpesan begitu.
     Sesusuk tubuh lelaki yang dibaluti dengan pakaian serba putih menerpa di mata ketika aku memasuki rumah tempat tinggal lamaku. Wajah 60-an lelaki itu yang berkaca mata hitam telah meyakinkanku bahawa dialah ketua mafia itu. Ruang rumah itu pula dipenuhi ahli-ahli kumpulan mafia yang bertubuh sasa dan berwajah begitu ganas.
     “Well done, sweetheart.”
     Lelaki itu merenungku dengan senyuman jahat, sejahat-jahat rejim Zionis yang menindas Palestin. Dapat kubaca segala-galanya dari senyumannya itu.
     “Ayah kau bunuh anak aku di` rumah lama aku. Aku nak habiskan dendam aku kat sini, seperti yang ayah kau buat pada anak aku.”
    Aku amat mengerti setiap patah katanya. Fahamlah aku mengapa Tok Abah melarang kami ke sini semula. Aku juga sudah faham mengapa Tok Abah, Tok Ma dan ibu tidak dibunuh sama waktu dengan ayahku. Dia mahu melihat keluargaku menderita seperti yang dirasainya. Sebuah renungan penuh berapi aku tujahkan padanya. Amarahku sudah tidak tertahan lagi.
     “Bagi balik Tok Ma dan ibuku.”
     “Kalau tak?”
     Sebuah senyuman sinis tergantung pada wajah lelaki itu. Rasa marahku semakin membara. Aku mara ke depan dan cuba menyerang lelaki itu, tetapi langkahku dihalang oleh ‘anak-anak buah’ lelaki itu. Kedua-dua lenganku mereka genggam dengan kemas. Aku ditarik semula ke belakang. Seribu dayaku tidak mampu melawan sejuta daya lelaki-lelaki itu.
     “Mungkin ayah kau suka tengok singa dalam hutan berbanding singa dalam sarkas.”
     Lelaki itu terus menapak pergi dari situ bersama-sama kereta api yang sedang menantinya di luar. Aku pula diarahkan mati di tangan ‘anak-anak buahnya’. Dengan segala kemahiran ketenteraan yang aku pelajari, aku mengumpul daya yang masih bersisa demi melawan lelaki-lelaki ganas itu. Kapak, parang dan rantai besi yang kasar dilibas kepadaku. Walaupun digertak, semangatku tidak roboh begitu sahaja.  Demi Tok Ma dan ibu, aku sanggup lakukan apa sahaja.  Dengan semangat yang dibekalkan di dada, aku mampu mengalahkan semua lelaki itu. Kecederaan yang parah akibat berlawan tidak menghalang aku untuk terus menjejaki ketua mafia itu.
     Dengan tangan yang patah, kaki yang berdarah dan terkehel, aku berlari mengejar kereta api yang sedang bergerak laju di landasan. Aku melompat ke dalam kereta api itu dan menemui ketua mafia yang berada di gerabak minyak tanah yang diseludup.
     “Selamat petang, ketua mafia.”
     Lelaki itu memasang riak terkejut. Aku terus menyerang lelaki itu dengan tenaga yang aku ada. Dia berkali-kali cuba menikamku dengan pisau, tetapi aku lebih cekap menepisnya. Aku cuba melanyak dia. Dia tangkas mempertahankan dirinya. Dia mencapai selaras senapang yang berada tidak jauh dari situ. Sudah tentu dia berasa aku terlalu susah untuk mati.
     “Matilah kau.”
    Aku memandang senapang yang sedang elok ditujah ke kepalaku. Aku terus melompat keluar dari kereta api tanpa sempat peluru senapang itu mengenai kepalaku. Sebentar kemudian, kereta api itu meletup. Peluru senapang itu telah menembusi segelen minyak tanah. Aku nyaris disambar api dek meletupnya kereta api itu.
     “Selamat malam, ketua mafia.”
     Dengan keadaan yang agak lemah tetapi dipenuhi semangat yang kental, aku mentafsir semula kata-kata ketua mafia itu.    
    “Mungkin ayah kau suka tengok singa dalam hutan berbanding singa dalam sarkas.”
     Aku bangkit dari jatuhku di atas tanah dan memasang langkah seribu ke dalam hutan. Aku telah menemui Tok Ma dan ibu yang telah diikat di pokok. Di situ, dua ekor singa sedang ‘menjaga’ kedua-dua mangsa yang mahu dibaham. Tok Ma dan ibu menghamburkan sehabis suara mereka agar aku tidak mendekati mereka, namun semangatku mengatasi jeritan mereka. Aku sanggup bergadai nyawa demi Tok Ma dan ibu.
     Aku bersedia menghadapi dua ekor singa yang berwajah garang dan tidak berperasaan itu. Jasadku sudah lemah, tetapi jiwaku tidak. Aku berlawan dengan dua ekor singa itu sehingga aku rebah ketika diterkam mereka. Sebahagian lengan tanganku telah dibaham oleh mereka. Aku menjadi semakin lemah dan akhirnya…pandanganku berubah hitam.
     BANGGG!!! Kedua-dua ekor singa itu pantas melarikan diri sebaik terdengar sedas tembakan itu.      
Aku menghirup secawan teh yang sedang berasap itu. Rasanya sungguh segar dan nikmat sekali, sesegar ingatanku terhadap peristiwa yang lepas. Kicauan sitta pygmea menemani hariku. Kelihatan dua ekor anak kucingku yang comel bermain sesama mereka. Aku bahagia melihat mereka. Sejuta kesyukuran aku panjatkan kepada Ilahi kerana masih diizinkan bernafas di alam fana ini. DIA telah mengirim Syahril untuk membantuku ketika aku nyaris mati dibaham singa. Dalam balutan luka-luka dalam di fizikal yang semakin menghampiri tempoh pulihnya, aku merenung kembali setiap cabaran yang aku hadapi. Kerana perbuatan ayah, aku telah mengenali dunia dengan lebih dekat. Kerana ayah, aku ditemukan dengan Ashraf. Keranamu ayah, aku mengenal erti perjuangan. Keranamu ayah, aku mampu membina hidup aman damai dengan Tok Ma dan ibu sekarang. Di sebalik pahitnya setiap cabaran itu, ada gula yang terselit di dalamnya.