Monday 6 February 2017

Who Moved My Cheese?

Assalamualaikum dan hai semua bloggers. Apa yang saya nak ceritakan kali ni amat bermanfaat buat kita semua.
***
Saya baru sahaja khatam senaskhah buku motivasi karya Dr. Spencer Johnson, berjudul Who Moved My Cheese? Dalam gambar yang saya paparkan itulah tajuknya. Saya teruja untuk kongsikan dengan anda semua sebelum saya terlupa segalanya. Untuk pengetahuan, saya pinjam buku ini dari tempat kerja saya, atas nasihat penyelia saya untuk membacanya. Untung juga kerja di syarikat bisnes, ada banyak buku-buku motivasi.
 ***
Kalau tak nak baca dalam Bahasa Inggeris, anda boleh dapatkan dalam Bahasa Melayu terbitan PTS Professional. Dr. Spencer ni memang terkenal dengan penulisan buku-buku motivasi. Sebenarnya saya baru kenal beliau lepas baca buku ni. Selama ni saya takkan dan tak pernah baca buku-buku motivasi orang Barat.
 ***
Buku beliau siri ini menyentuh tentang perubahan. Konsep perubahan yang disentuh adalah general. Okey, cuba tanya diri anda adakah anda seorang yang peka dengan perubahan? Atau anda seorang yang cepat bertindak selepas mengesan perubahan yang berlaku? Atau anda seorang yang suka menolak perubahan? Atau anda seorang yang tak sukakan perubahan tapi anda cuba untuk gerakkan diri anda hadapi perubahan? Dah dapat jawapan anda di level mana? Masih tak dapat jawapan? Jangan risau. Ayuh kita cari jawapan sama-sama.
 ***
Konsep keju telah digunakan sebagai item kepada perubahan. Perubahan di sini adalah general, tak kira dari segi tempat tinggal, tempat kerja, kehidupan, persekitaran, perniagaan, kesihatan, kegembiraan dan sebagainya. Di sekeliling kita terdapat empat watak manusia yang berbeza ketika berada di fasa perubahan. Mereka ini adalah mereka yang cepat mengesan perubahan, mereka yang cepat bertindak seiring dengan perubahan, mereka yang menolak perubahan dan mereka yang tak mahu berubah tetapi cuba untuk menyesuaikan diri dengan perubahan.
 ***
Keju boleh beralih pada bila-bila masa. Manusia perlu sedar akan perubahan yang berlaku. Mereka yang cepat menghidu perubahan adalah mereka yang sudah bersiap sedia dengan perubahan yang berlaku. Contohnya, Ahmad dan Khatijah sudah 10 tahun berkahwin dan mempunyai 3 orang anak. Sejak 2 bulan yang lalu, Ahmad dan Khatijah sering bergaduh. Khatijah merasakan rumahtangganya tak akan bertahan lama. Tambahan pula, pergaduhan yang terjadi adalah bukan pergaduhan biasa. Khatijah telah merancang kewangan masa depan anak-anak mereka sejak awal kelahiran anak sulung jika mereka bercerai. Seminggu kemudian, Ahmad melafazkan cerai. Khatijah akur dengan perubahan ini. Dia mulakan hidup baru bersama anak-anaknya.
 ***
Itu dari segi kehidupan. Dari segi pekerjaan pula, staff yang cepat mengesan perubahan biasanya tidak akan menetapkan kerjanya pada sudut yang sama. Mereka akan sedar bila keju dialihkan.
***
Bagi mereka yang cepat bertindak mengikut perubahan pula, mereka ini sangat optimis, yakin dan tidak takutkan perubahan. Mereka hanya mengikut perubahan semasa tanpa peduli keadaan sekeliling dan cabaran yang menanti. Apa yang mereka tahu, mereka mesti dapatkan keju baru. Mereka tak menganalisis apakah dan siapakah punca kepada perubahan yang berlaku. Mereka cepat mencari jalan penyelesaian. Contohnya, anda berniaga mee goreng di pasar malam. Di sebelah anda ada seorang peniaga mee goreng hipster. Perniagaan anda terjejas disebabkan mee goreng hipster yang resepinya diperbaharui dengan kandungan keju, krim ais krim, kismis dan sebagainya. Pelanggan anda mulai susut dan membeli di gerai sebelah anda. Anda risau dengan kemerosotan perniagaan anda. Tetapi anda bijak. Anda orang yang cepat bertindak bila berlaku perubahan. Anda mula pelbagaikan mee goreng anda dan jadikan ia hipster, malah lebih sedap daripada mee goreng peniaga di sebelah. 
 ***
Dalam struktur organisasi, orang yang cepat bertindak lebih disukai majikan berbanding orang yang menolak perubahan. Mereka yang cepat bertindak mengikut perubahan berpotensi untuk kekal berada di dalam organisasi. Mereka cuba ubah cara kerja dengan lebih mantap.
 ***
Manakala, bagi mereka yang berperwatakan menolak perubahan lazimnya akan tertinggal jauh ke belakang. Mereka lebih suka memilih untuk kekal berada di zon selesa dan tidak cuba untuk mengubah diri seiring dengan perubahan sekeliling. Mereka lebih bersikap pesimis dan takut jika orang mengalihkan keju. Mereka akan menganalisis apakah dan siapakah punca kepada perubahan dan tidak cuba untuk bertindak. Orang sebegini lebih suka duduk menanti perkara lama yang selalu mereka hadapi kembali. Dalam syarikat, orang-orang sebegini tidak akan bertahan lama atau paling tidak mereka akan kekal berada di posisi mereka.
 ***
Jika anda nak lebih faham tentang watak manusia yang menolak perubahan, kita boleh jadikan kes ini sebagai contoh. Pak Ali membuka kedai runcit. Dia sudah lama membuka kedainya di situ dan hanya dia yang membuka gerai di situ. Kawasan itu sangat strategik, kedainya sentiasa dipenuhi dengan pelanggan. Pada suatu hari, sebuah pasaraya telah dibuka bertentangan dengan kedainya. Perniagaan Pak Ali mula merosot. Isteri Pak Ali, Mak Limah telah mencadangkan Pak Ali membuka beberapa cawangan kedai runcit, tetapi Pak Ali enggan terima cadangan itu oleh kerana takutkan risiko menanggung rugi yang banyak. Dia lebih selesa jika kedainya di situ sahaja. Akhirnya dia kekal di situ sampai terpaksa gulung tikar. 
 ***
Watak yang akhir adalah mereka yang tak suka atau takutkan perubahan, tapi berusaha untuk menyesuaikan diri dengan perubahan. Pada mulanya mereka bersikap pesimis, tetapi berubah menjadi optimis setelah membayangkan impian yang bakal dicapai jika keju baru berjaya dicapai. Mereka cuba mengatasi rasa takutkan cabaran untuk menghadapi perubahan dan cuba majukan diri. Okey, saya jadikan situasi saya sebagai contoh untuk anda lebih faham. Saya baru sahaja bekerja selama 3 minggu di sebuah syarikat ini. Bekerja bukan bermaksud saya diterima sebagai pekerja tetap, tetapi sebagai trainee pada permulaannya.
***
Fasa perubahan pertama yang saya terpaksa tempuhi adalah budaya kerja yang speed. Untuk makluman, saya bukanlah seorang yang buat kerja cepat. Saya bukanlah jenis yang suka serius bila buat kerja. Banyak kelemahan dalam kerja saya. Banyak yang menegur cara kerja saya. Saya mempunyai karakter dove yang tinggi, jadi saya tak sukakan perubahan. Saya alami kejutan dengan situasi ini dan mula sedar dunia belajar dan internship takkan sama dengan alam pekerjaan. Lantas apa yang saya buat? Berpatah balik dan stay di zon selesa saya? Saya cuba tak amalkan istilah dan cara itu dalam hidup. Kiranya saya sedang dalam fasa menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku.
***
Perubahan kedua yang saya kesan yang berlaku di sekeliling saya adalah saya kini tidak berada di jalan yang saya kehendaki. Banyak kelemahan yang berada di dalam perubahan yang saya alami. Persekitaran, masyarakat sekeliling, cara hidup dan sebagainya. Bila saya lihat semua ini, saya sedar saya mula menjalani kehidupan orang dewasa. Tetapi apa yang boleh saya buat? Saya tak nak jadi orang yang menolak perubahan. 
 ***
Perubahan ketiga yang berlaku adalah bila saya perlu memberanikan diri untuk menerjah ke dunia pekerjaan apabila saya sendiri tidak bersedia. Bila saya tak bersedia, saya terkejut dengan budaya kerja di luar. Sistem pekerjaan di setiap organisasi adalah berbeza. Ada yang teratur dan tidak teratur. Ada yang ingin cepat dan lambat. Tetapi performance kita dinilai berdasarkan cara kerja yang bagus dan bersistematik. 
 ***
Perubahan keempat yang saya perlu hadapi adalah dari segi penampilan. Sejak masuk universiti, saya terbiasa berpenampilan formal. Malah, bila saya internship di MATRADE, saya masih kenakan penampilan formal. Tapi bila masuk syarikat swasta sebegini, saya terkejut pekerja lelaki hanya memakai tshirt dan jeans. Pekerja perempuan pula baju seperti biasa, tetapi mengenakan jeans. Pekerja lelaki hanya datang kerja pakai selipar. Pernah saya tanya rakan sepejabat, "Kat sini pakaian memang tak formal ke?" Tapi dia cuma jawab tak tahu. Saya cuba tenang hadapi situasi ini walaupun pelik dan tertanya-tanya syarikat ni betul-betul tak wujudkan etika pemakaian waktu pejabat ke? Tambah hairan bila pejabat sebelah pekerjanya semua berpakaian formal, tetapi syarikat saya bekerja pekerja semua pakai tak formal, sedangkan dua-dua pejabat. Saya cuba berfikiran terbuka tentang ni dan menganggap saya ketinggalan zaman bila terpaksa mematuhi etika pemakaian sejak alam universiti. Saya cuba membiasakan diri untuk berpakaian tak formal.
 ***
Maaf kerana entri kali ini cara penulisannya lebih kepada pengenalan personaliti diri. Inilah pemahaman saya berdasarkan pembacaan dari buku itu. Jadi anda dah dapat jawapan anda mempunyai watak yang mana jika berada dalam fasa perubahan? Apapun watak anda, anda boleh mengubah cara anda menghadapi perubahan. Sentiasa tenang menghadapinya. Saya harap perkongsian saya ni bermakna buat anda.