Monday 28 March 2016

Discuss

Great minds discuss ideas.
Average minds discuss events.
Small minds discuss people.
~Eleanor Roosevelt

Saturday 26 March 2016

Keranamu Ayah



Oleh: Fateen Nurillia Yahya
Aku termenung di jendela. Bunyi kicauan burung dan cuaca yang tenang pada hari ini telah menenangkan jiwaku. Dalam keenakan menikmati suasana tenang itu, tiba-tiba di telingaku terngiang-ngiang kembali setiap patah kata Tok Abah.
     “Kita harus mencari sesuatu untuk mempertahankan sesuatu.”
     Itulah kata Tok Abah. Sebenarnya, itulah jawapan Tok Abah setiap kali aku mempersoalkan perbuatannya yang tidak jemu-jemu melatih aku dalam pelbagai kemahiran ketenteraan yang dimilikinya. Dia melatih aku sejak kecil sehinggalah aku mahir, tetapi aku masih tertanya-tanya mengapa Tok Abah membuat begitu. Sudah 17 tahun aku menyoal perkara yang sama kepadanya, namun, jawapannya tetap sama. Aku juga hairan mengapa aku dilahirkan tanpa bapa, tidak seperti kanak-kanak yang lain, malah, Tok Abah, Tok Ma dan ibu tidak pernah bercerita tentang bapaku. Sepanjang 17 tahun hidup di sini, aku mengetahui tentang Tok Abah yang merupakan bapa kepada bapaku dan merupakan seorang bekas tentera darat yang pernah berjuang membebaskan tanah air daripada dirampas oleh komunis.
     “Zahara, masa untuk berlatih. Jangan buang masa.”ujar Tok Abah dengan tegas ketika memasuki bilik aku.
     Aku hanya menurut perintah Tok Abah yang sememangnya garang dalam lembut itu. Aku tidak mahu buat perangai. Aku pernah diselam di dalam lumpur kerana tidak mematuhi arahan. Aku juga pernah diikat di pokok kerana tidak berlatih. Aku juga pernah disebat hingga berdarah kerana tidak melakukan latihan dengan betul.  Hari ini aku hanya perlu berlatih sehingga tengah hari sahaja kerana Tok Abah ingin pergi memburu haiwan di hutan yang berhampiran rumah kami.
     Lazimnya, Tok Abah mengambil masa selama dua hari untuk memburu di hutan, tetapi hari ini aku, Tok Ma dan ibu dikejutkan dengan berita Tok Abah dibawa pulang dari hutan. Kami terkejut kerana tidak sampai sehari Tok Abah ke hutan, dia sudah dibawa pulang ke rumah.
     “Tok Abah kena tembak.”ujar Syahril.
     Pemuda berusia 24 tahun itulah yang membawa Tok Abah pulang. Memang pemuda itu sering memburu haiwan dengan Tok Abah. Aku menangis sambil menggenggam erat tangan Tok Abah yang sedang bergelut dengan kesakitan di dadanya. Tok Ma dan ibu pula sama-sama membisikkan kalimah syahadah ke telinga Tok Abah.
     “Jagalah Tok Ma dan ibumu, Zahara. Lindungilah kedua-dua mereka. Ingatlah, kita harus mencari sesuatu untuk mempertahankan sesuatu.”
    “Tapi, Tok Abah…”
     “Pergilah dari sini dengan Tok Ma dan ibumu. Jangan datang ke sini lagi.”pesan Tok Abah dalam nafas terakhirnya.
     Aku menelan juga peristiwa pemergian Tok Abah walaupun amat payah dan perit. Tok Abah sudah selamat disemadikan di pusara. Kini aku, Tok Ma dan ibu telah memulakan hidup baru di tempat yang baru, seperti yang dipesan arwah Tok Abah. Aku juga telah menabur tenagaku sebagai guru Pendidikan Jasmani di sebuah sekolah menengah sejak sebulan yang lalu. Kerja sebagai guru PJK tidaklah sukar bagiku kerana sudah lumrah dalam hidupku yang sejak kecil dilatih seperti seorang askar. Ada ketikanya aku terlalu garang dalam mengajar anak-anak muridku, seperti arwah Tok Abah.
     “Syafiq, kaki kiri awak bergerak! Pumping 10 kali sekarang!”arahku dengan garang.
     Hari ini aku telah melatih anak-anak muridku dalam permainan bola jaring. Pertandingan bola jaring akan diadakan tidak lama lagi.
     “Amboi, garang sungguh.”tegur seorang guru PJK lelaki.
     Aku tersenyum mendengar teguran itu. Selama sebulan mencurahkan bakti di sekolah itu, guru lelaki itu sentiasa mahu menarik perhatianku dengan pelbagai cara yang dilakukan. Aku pula hanya buat tidak endah walaupun sesekali gayanya itu menarik hatiku untuk berkenalan dengannya. Oleh kerana tidak tahan dengan layanan yang diberikan, aku akhirnya menerima salam perkenalannya. Aku mula menjalin persahabatan dengannya. Aku mula berani menghadiri temu janji yang diatur oleh lelaki itu. Aku juga sudah berani menjejakkan kaki ke rumahnya tanpa ragu-ragu.
     “You duduk dulu, I pergi buat air.”
     Aku duduk di sofa sambil melihat sebuah gambar di dalam bingkai di atas sebuah meja kayu yang agak usang. Mungkin juga itu gambar keluarga lelaki itu. Entahlah, aku juga tidak tahu. Lantas, aku terkenangkan keluargaku yang tidak lengkap. Aku tidak berbapa. Aku tidak pernah merasai kasih sayang seorang bapa. Lamunanku tercantas tatkala aku menyedari ada sebilah pisau sedang menyentuh leherku.
     “Kalau melawan, I akan rogol dan bunuh you.”
     Aku tidak kecut perut dengan ugutan guru lelaki itu. Pesanan Tok Abah supaya sentiasa tenang kala berdepan dengan musuh berlegar-legar di otakku. Aku tidak tahu sejak bila lelaki itu berada di belakang. Dengan perlahan-lahan, aku mengenggam kuat lengan lelaki itu dan melambungkan tubuhnya ke hadapan. Pisau yang tadi berada di leherku, aku tujahkan ke dadanya. Lelaki itu mengaku tewas.  Aku keluar dari rumah itu setelah tahu mengapa Tok Abah dibunuh. Lelaki tadi telah aku bunuh setelah tahu dia diupah untuk membunuhku. Benakku lantas memikirkan tentang Tok Ma dan ibu. Nyawa mereka tidak selamat sekarang.
     “Arwah ayahmu seorang ahli kumpulan mafia dulu. Dia telah membelot kerana ditipu oleh ketua mafia dan membunuh semua keluarga ketua mafia. Dia telah dibunuh oleh ketuanya ketika kamu masih dalam kandungan.”
     “Ketua mafia berjanji mahu membunuh semua ahli keluarga ayahmu.”
     Begitulah kata Tok Ma dan ibu setelah aku mendesak mereka untuk bercerita tentang bapa. Kini aku mengerti akan kalimah Tok Abah, ‘kita harus mencari sesuatu untuk mempertahankan sesuatu.’ Menurut Tok Ma, Tok Abah mencari sesuatu dalam diriku dan telah menemui semangat yang kental dan tekad yang ku`at lahir dalam jiwaku, kerana itulah Tok Abah melatihku untuk mempertahankan diriku, Tok Ma dan ibu daripada dibunuh. Mereka tidak menjawab apabila aku bertanya mengapa ketua mafia itu tidak membunuh mereka pada masa itu juga.
    Aku berjanji selagi nyawaku masih ada, aku akan mempertahankan nyawa keluargaku. Aku mengembara demi menyudahkan perkara yang tidak selesai. Tok Ma dan ibu aku tinggalkan dengan janji akan mengirim surat pada setiap minggu. Semua simpanan aku bawa untuk keperluan semasa mengembara. Aku berjaya mengembara ke Beijing, Laos, India…dan kini, aku sudah berada di New York City, USA. Walaupun tidak tahu di mana ketua mafia itu berada, aku tetap tidak berputus asa untuk menjejakinya. Kata ibu, ketua mafia itu boleh berada di mana-mana sahaja di luar negara. Aku juga tahu  nyawaku menjadi taruhan, tetapi aku tidak pedulikan semua itu. Sudah seminggu aku berada di New York, simpanan aku sudah mula berkurangan. Aku mendapatkan kerja sebagai seorang pelayan di sebuah restoran bagi menampung perbelanjaan harian.
     Aku memakai seragam pelayan dan mengenakan topi. Dari jauh kelihatan seorang pemuda baru sahaja melabuhkan duduk di sebuah meja. Aku melayan lelaki itu. Usai sahaja lelaki itu selesai makan dan berlalu dari restoran itu, aku mengemas meja itu. Aku perasan di atas meja itu ada secebis kertas yang tertulis sebaris nombor telefon. Aku faham apakah maksudnya itu. Sejak aku menerima nombor telefon itu, semakin kerap lelaki itu datang ke restoran itu. Aku tidak melayan semua tingkah lakunya. Pengalaman yang lepas telah mengajarku agar tidak mempercayai lelaki dengan mudah. Oleh kerana aku tidak melayan, dia sanggup mengekoriku sehingga ke dapur restoran.
     “Tolong hentikan semua ni.”ujarku dengan tegas apabila lelaki itu masih mengekoriku ke dapur.
     “Boleh, tapi awak kena kawan dengan saya. Awak boleh percayakan saya.”
     Aku menerima Ashraf sebagai kawan dalam berhati-hati. Aku mula mengenali Ashraf yang jujur dan amat mementingkan masa. Pernah pemilik sebuah pasaraya di New York itu melenting kala aku terlewat datang ke tempat temu janji. Kejujuran pemuda itu tidak pernah aku lihat ada pada lelaki lain.
     “Ash, saya percayakan awak. Saya nak awak tolong jaga Tok Ma dan ibu saya.”
     Walaupun lelaki itu tidak tahu mengapa dia disuruh menjaga Tok Ma dan ibu, namun, lelaki itu hanya menurut permintaanku. Dia sanggup buat apa sahaja demi persahabatan aku dan dia. Kisah yang sebenar terpaksa aku rahsiakan. Walaupun pengembaraanku atas tujuan lain, namun, aku dapat mengenal pelbagai budaya dan bergaul dengan pelbagai kaum. Budaya masyarakat sekeliling telah mengajarku erti hidup yang sebenar. Aku telah belajar cara hidup berdikari. Tidakku nafikan hidup di negara orang telah menjadikan aku lebih matang. Aku masih meneruskan pekerjaanku sebagai pelayan. Aku mengemas sebuah meja makan. Di atas meja itu tertampal sekeping nota yang tertulis ‘pandang depan’. Mustahil nota itu daripada Ashraf. Lelaki itu tiada di New York kerana menjaga Tok Ma dan ibu. Aku mula berasa tidak sedap hati.
     Tanpa memandang ke hadapan seperti yang dipinta, aku bergegas berguling dan menyorokkan diriku di belakang sebuah tiang yang berdekatan. Sebutir peluru C4 nyaris mengenaiku dan telah menembusi kepala seorang juruwang di kaunter restoran. Jika aku tidak lari, aku akan terbunuh. Dari jauh kelihatan seorang ‘jurukamera’ lelaki meninggalkan restoran itu dengan tenang. Suasana yang tenteram serta-merta menjadi hingar-bingar. Semua pelanggan menjadi panik.
      Nyawaku tidak selamat lagi.  Aku segera berlari pulang ke rumah sewa.
     “Hai.”
     Seorang gadis yang mendakwa sebagai penyewa baru telah berdiri di muka pintu rumah sewa itu. Aku dapat membaca setiap gerak laku gadis itu. Mungkinkah gadis itu turut diupah untuk membunuhku? Aku lantas menangkap dan memeluk kemas tubuh sambil memaut lehernya dengan kuat. Tubuh gadis itu kurebahkan ke lantai.
    “Kat mana ketua mafia tu?”
     Aku menekan tulang punggung gadis itu sehingga patah dengan kakiku apabila gadis itu enggan memberitahu.
    “Berlin, Jerman.”
     Gadis itu menjawab setelah tidak tertanggung menahan sakit. Aku mematahkan leher hingga gadis itu mati dan terus mengembara ke Berlin. Aku menuju ke sebuah gereja yang didiami ketua mafia itu, seperti yang didakwa gadis itu. Puas aku mencari, namun kelibat ketua mafia itu masih tidak aku jumpa. Aku membaca tulisan di atas sekeping poskad yang telah diberi oleh seorang kanak-kanak perempuan sebentar tadi.
     ‘Memburu seseorang yang tak pasti berada di mana hanyalah membazir masa dan tenaga. Lebih baik fikirkan keselamatan keluarga awak.’
     Dua ayat yang tertulis di poskad itu pantas memasuki otakku. Mungkin juga ketua mafia yang telah menghantar poskad itu. Daripada catatan di poskad itu, aku pasti bahawa ketua mafia itu berada tidak jauh dari tempat Tok Ma dan ibu disembunyikan. Tanpa berfikir lagi, aku terus terbang pulang untuk menyelamatkan Tok Ma, ibu dan Ashraf.
    Nyawaku seakan-akan disentap tatkala aku memasuki tempat persembunyian Tok Ma dan ibu. Kedua-dua insan yang paling aku sayang sudah tiada lagi. Aku melihat Ashraf sedang merangkak-rangkak dengan keadaan berlumuran darah sambil mengerang kesakitan di dada dan lututnya yang telah ditembak. Tanpa menghiraukan awan mendung yang menyelubungi hatiku, aku memangku Ashraf yang sedang menderita. Segumpal perasaan bersalah pantas menghurungi hatiku sambil setitis demi setitis air jernih keluar dari mataku. Aku bersalah kerana telah menyusahkan hidup Ashraf. Lelaki itu telah mempertaruhkan nyawanya demi Tok Ma dan ibu.
     “Saya minta maaf, Zahara. Tapi janjilah, saya sahabat awak selamanya.”
    Setelah mengungkap kata-kata itu, Ashraf pergi jua ketika di pangkuanku. Aku telah kehilangan satu-satunya kawan yang tidak ternilai buatku. Seketul perasaan amarah memukul hatiku. Aku telah bertekad. Aku harus mengejar ketua mafia itu sehingga di akhir garisan. Aku teringat kembali pesanan Tok Abah.
     “Pergilah dari sini dengan Tok Ma dan ibumu. Jangan pernah lagi datang ke sini.”pesan Tok Abah dalam nafas terakhirnya.
      Aku amat pasti ada sebabnya mengapa Tok Abah tidak membenarkan aku, Tok Ma dan ibu kembali lagi ke tempat tinggal lama kami. Aku menuju ke perkampungan lama kami dengan sebuah trak lama milik Tok Abah yang sememangnya sudah lama tersadai di tempat itu. Sepanjang perjalanan ke sana, aku tertanya-tanya mengapakah Tok Abah berpesan begitu.
     Sesusuk tubuh lelaki yang dibaluti dengan pakaian serba putih menerpa di mata ketika aku memasuki rumah tempat tinggal lamaku. Wajah 60-an lelaki itu yang berkaca mata hitam telah meyakinkanku bahawa dialah ketua mafia itu. Ruang rumah itu pula dipenuhi ahli-ahli kumpulan mafia yang bertubuh sasa dan berwajah begitu ganas.
     “Well done, sweetheart.”
     Lelaki itu merenungku dengan senyuman jahat, sejahat-jahat rejim Zionis yang menindas Palestin. Dapat kubaca segala-galanya dari senyumannya itu.
     “Ayah kau bunuh anak aku di` rumah lama aku. Aku nak habiskan dendam aku kat sini, seperti yang ayah kau buat pada anak aku.”
    Aku amat mengerti setiap patah katanya. Fahamlah aku mengapa Tok Abah melarang kami ke sini semula. Aku juga sudah faham mengapa Tok Abah, Tok Ma dan ibu tidak dibunuh sama waktu dengan ayahku. Dia mahu melihat keluargaku menderita seperti yang dirasainya. Sebuah renungan penuh berapi aku tujahkan padanya. Amarahku sudah tidak tertahan lagi.
     “Bagi balik Tok Ma dan ibuku.”
     “Kalau tak?”
     Sebuah senyuman sinis tergantung pada wajah lelaki itu. Rasa marahku semakin membara. Aku mara ke depan dan cuba menyerang lelaki itu, tetapi langkahku dihalang oleh ‘anak-anak buah’ lelaki itu. Kedua-dua lenganku mereka genggam dengan kemas. Aku ditarik semula ke belakang. Seribu dayaku tidak mampu melawan sejuta daya lelaki-lelaki itu.
     “Mungkin ayah kau suka tengok singa dalam hutan berbanding singa dalam sarkas.”
     Lelaki itu terus menapak pergi dari situ bersama-sama kereta api yang sedang menantinya di luar. Aku pula diarahkan mati di tangan ‘anak-anak buahnya’. Dengan segala kemahiran ketenteraan yang aku pelajari, aku mengumpul daya yang masih bersisa demi melawan lelaki-lelaki ganas itu. Kapak, parang dan rantai besi yang kasar dilibas kepadaku. Walaupun digertak, semangatku tidak roboh begitu sahaja.  Demi Tok Ma dan ibu, aku sanggup lakukan apa sahaja.  Dengan semangat yang dibekalkan di dada, aku mampu mengalahkan semua lelaki itu. Kecederaan yang parah akibat berlawan tidak menghalang aku untuk terus menjejaki ketua mafia itu.
     Dengan tangan yang patah, kaki yang berdarah dan terkehel, aku berlari mengejar kereta api yang sedang bergerak laju di landasan. Aku melompat ke dalam kereta api itu dan menemui ketua mafia yang berada di gerabak minyak tanah yang diseludup.
     “Selamat petang, ketua mafia.”
     Lelaki itu memasang riak terkejut. Aku terus menyerang lelaki itu dengan tenaga yang aku ada. Dia berkali-kali cuba menikamku dengan pisau, tetapi aku lebih cekap menepisnya. Aku cuba melanyak dia. Dia tangkas mempertahankan dirinya. Dia mencapai selaras senapang yang berada tidak jauh dari situ. Sudah tentu dia berasa aku terlalu susah untuk mati.
     “Matilah kau.”
    Aku memandang senapang yang sedang elok ditujah ke kepalaku. Aku terus melompat keluar dari kereta api tanpa sempat peluru senapang itu mengenai kepalaku. Sebentar kemudian, kereta api itu meletup. Peluru senapang itu telah menembusi segelen minyak tanah. Aku nyaris disambar api dek meletupnya kereta api itu.
     “Selamat malam, ketua mafia.”
     Dengan keadaan yang agak lemah tetapi dipenuhi semangat yang kental, aku mentafsir semula kata-kata ketua mafia itu.    
    “Mungkin ayah kau suka tengok singa dalam hutan berbanding singa dalam sarkas.”
     Aku bangkit dari jatuhku di atas tanah dan memasang langkah seribu ke dalam hutan. Aku telah menemui Tok Ma dan ibu yang telah diikat di pokok. Di situ, dua ekor singa sedang ‘menjaga’ kedua-dua mangsa yang mahu dibaham. Tok Ma dan ibu menghamburkan sehabis suara mereka agar aku tidak mendekati mereka, namun semangatku mengatasi jeritan mereka. Aku sanggup bergadai nyawa demi Tok Ma dan ibu.
     Aku bersedia menghadapi dua ekor singa yang berwajah garang dan tidak berperasaan itu. Jasadku sudah lemah, tetapi jiwaku tidak. Aku berlawan dengan dua ekor singa itu sehingga aku rebah ketika diterkam mereka. Sebahagian lengan tanganku telah dibaham oleh mereka. Aku menjadi semakin lemah dan akhirnya…pandanganku berubah hitam.
     BANGGG!!! Kedua-dua ekor singa itu pantas melarikan diri sebaik terdengar sedas tembakan itu.      
Aku menghirup secawan teh yang sedang berasap itu. Rasanya sungguh segar dan nikmat sekali, sesegar ingatanku terhadap peristiwa yang lepas. Kicauan sitta pygmea menemani hariku. Kelihatan dua ekor anak kucingku yang comel bermain sesama mereka. Aku bahagia melihat mereka. Sejuta kesyukuran aku panjatkan kepada Ilahi kerana masih diizinkan bernafas di alam fana ini. DIA telah mengirim Syahril untuk membantuku ketika aku nyaris mati dibaham singa. Dalam balutan luka-luka dalam di fizikal yang semakin menghampiri tempoh pulihnya, aku merenung kembali setiap cabaran yang aku hadapi. Kerana perbuatan ayah, aku telah mengenali dunia dengan lebih dekat. Kerana ayah, aku ditemukan dengan Ashraf. Keranamu ayah, aku mengenal erti perjuangan. Keranamu ayah, aku mampu membina hidup aman damai dengan Tok Ma dan ibu sekarang. Di sebalik pahitnya setiap cabaran itu, ada gula yang terselit di dalamnya.



   
    

    
    
      

Suasana Di Pesta Buku

24 Mac 2016...

Hari ini saya telah pergi ke Pesta Buku Utara yang berlangsung selama seminggu di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah. Bukan sahaja Pesta Buku, tetapi Pesta IT dan PC juga turut diadakan selama seminggu di laman sebelah perpustakaan itu. Sempena pesta ini juga, para pelajar kelas Sains Pemikiran dan Etika kumpulan D diarahkan oleh Dr. Ahmad Sahidah untuk menceritakan suasana sepanjang berada di Pesta Buku disertakan sekali dengan gambar. Namun begitu, tugasan yang diberikan adalah untuk menceritakan suasana di situ lebih daripada apa yang ada di dalam gambar. Seperti biasa, pelbagai  jenis pengunjung yang  dapat saya lihat sepanjang saya berada di sana. Paling saya tidak boleh lupa apabila seorang lelaki bersama isteri dan anak-anaknya bertanya kepada saya ketika saya berada di tapak Pesta IT dan PC, ketika itu saya baru sahaja selesai mengunjungi Pesta Buku. "Adik, pesta buku ada lagi dak?" Dia bertanya dengan loghat Kedahnya. Saya tersenyum sambil menjawab, "ada lagi, buka lagi". Dalam hati saya terdetik, "bagus abang ni, semangat mahu membeli naskhah buku-buku ilmiah, mungkin juga dia mahu membeli buku untuk dia, isteri dan anak-anaknya". Ketika ini, tidak ramai yang datang ke Pesta Buku. Bilangan pengunjungnya pada anggaran saya, hanya mencecah 50 orang sahaja saat ini. Mungkin kerana masih petang. Lazimnya, setiap kali pesta dilangsungkan, para pelajar akan turun melihat dan membeli di pesta pada waktu malam. 
     Pelbagai jenis atau genre buku dari pelbagai penerbit terdapat di sana. Kitab al-Quran, motivasi, novel-novel fantasi, mencabar dan cinta, buku-buku biografi dan buku-buku cerita teladan serta buku-buku pelajaran. Malahan, kali ini saya dapati buku-buku ulangkaji murid-murid sekolah turut dijual, berbeza dengan pesta buku yang diadakan pada tahun lepas. Selain itu, saya kagum dengan para pengunjung di Pesta Buku itu. Mereka kelihatan bersungguh-sungguh mahu membeli buku. Mungkin kerana mereka percaya ilmu itu sangat berguna, bukan sahaja di dunia, tetapi juga selepas mati. Ada yang membeli kitab al-Quran, ada yang membeli buku-buku cerita teladan, ada yang membeli novel, ada yang membeli buku-buku motivasi dan tidak kurang juga ada yang membeli buku-buku pelajaran.
     Para pengunjung pula bukan sahaja daripada kalangan pelajar UUM, tetapi juga dari luar UUM. Malah, pelbagai rupa pengunjung yang dapat dilihat. Seperti lelaki yang bertanya tadi, saya jangka dia bukanlah warga UUM, tetapi tinggal berdekatan dengan UUM. Selain itu, ada di antara pengunjung yang berpakaian formal dan ada juga di antara mereka yang berpakaian santai. Ada juga dalam kalangan mereka yang sudah berusia dan ada yang masih muda, remaja malahan kanak-kanak. Ada yang datang sekeluarga, ada yang datang berseorangan dan ada yang datang berteman. Ada yang mendukung anak sambil membelek-belek buku dan ada suami melayan anak sambil menunggu isteri memilih buku. Ada pelajar yang menunggu rakan-rakannya di kerusi menunggu. Ada juga yang sesudah membeli buku, terus membaca bukunya di meja belajar yang terdapat di hadapan kedai barangan komputer di hadapan tapak Pesta Buku. Ada yang ke hulu ke hilir mencari-cari buku yang sekian lama dihajati. Tidak kurang juga yang sekadar membelek tanpa membeli buku tersebut. Ada juga yang sesudah membeli buku, terus ke tapak Pesta IT dan PC. Apabila melihat suasana ini, saya teringat akan kata-kata dari Plato, "knowledge is the food of the soul". Ilmu itu adalah makanan kepada nyawa. Ibarat tiada ilmu, matilah nyawa. Kebanyakan ilmu juga diperolehi menerusi pembacaan dan pengalaman. Mereka yang mengunjungi Pesta Buku ini kelihatannya tidak mengira taraf, usia dan sangat mementingkan ilmu. Malahan, seakan-akan mereka memanfaatkan kata-kata Plato dalam kehidupan seharian mereka. Tambahan pula, setiap agama menyeru penganutnya mencari ilmu dan sebolehnya setelah memperolehi ilmu, manfaatkanlah ilmu itu. 
   Saya mula sedar, apa yang saya tulis ini bukanlah sekadar tugasan, tetapi juga adalah mekanisme untuk menceritakan apakah yang kita fikirkan berdasarkan pemerhatian saya terhadap suasana sebegini. Ianya bukanlah bergantung kepada suasana, tetapi apakah bentuk pemikiran kita terhadap suasana tersebut. Suasana hanyalah perkara sampingan yang menolong kita untuk menilai.

Friday 25 March 2016

FIFA



Kertas putih yang megah dihiasi dakwat-dakwat huruf berwarna hitam itu aku renung kosong. Mindaku mengimbas kembali pertemuanku dengan majikanku,Encik Shaari yang berlangsung pada petang tadi.
     “Ada apa encik panggil saya?”Aku bertanya tatkala memasuki biliknya.
     “Duduk dulu. Awak ada satu tugasan penting perlu dilaksanakan. Saya mahu awak baca surat ini dahulu.”Encik Shaari mengunjukkan sepucuk surat bersampul putih dan aku menyambutnya.
     “tetapi encik,masih ada banyak lagi tugasan yang perlu saya selesaikan di sini."
     “tak boleh,Sara. Awak perlu selesaikan tugasan ini dulu. Jangan risau,tugasan-tugasan awak yang belum siap saya akan suruh Kartina buat.”Sebuah keluhan kesal terhambur di celah-celah bibirku. Ah,kali ini aku terpaksa berhijrah ke tempat orang lagi. Dapatkah aku menyesuaikan diri di sana nanti? Aku yakin orang-orang yang bertugas bersama-sama aku nanti lebih terbuka mindanya dan lebih bijak daripadaku.
“sibuknya dia berkemas. Kali ini ke mana pula?”Fatiha,kawan serumahku menyapa tatkala aku melipat pakaian dan meletakkan ke dalam sebuah bagasi.
“Afrika Selatan. Aku terpaksa menguruskan pengiklanan syarikat maxis di sana sempena Piala Dunia FIFA ini.”
“wah,bagusnya. Nanti di sana kau bolehlah tengok Piala Dunia FIFA secara langsung. Boleh bertemu dengan pemain-pemain bola sepak pula tu. Syoknya.”Fatiha terjerit kegirangan. Kelakuannya itu lebih teruja berbanding denganku. Seperti dia pula yang boleh pergi ke sana sedangkan aku sehingga sekarang masih bermuram.

                                                      *****************************

Awan lewat pagi itu berarak begitu tenang,tetapi diriku tidak setenang itu. Aku gugup mengenangkan suasana kerjaku bersama-sama teman dari lain-lain negara nanti. Sejurus sahaja tiba tiba dari lapangan terbang,aku terus menuju ke arah sebuah kafe untuk mengisi perutku yang masih tidak menyentuh sarapan pagi. Setibanya di kaunter pesanan kafe tersebut,aku terus memesan segelas polisterin kopi dan sebungkus wafel,makanan kegemaranku.
“Miss, I want an omelette.”Seorang lelaki di sebelahku melaung pesanan makanannya kepada pelayan wanita tersebut
.“do you want to eat here or packing?”tanya pelayan itu.
“packing,please.”Aku berkalih memandang wajah lelaki itu. Seperti aku pernah mengenali lelaki ini. Ketinggian dan susuk tubuh badannya tidak ubah seperti bekas pemain bola sepak pasukan Argentina,iaitu Diego Maradona.
“hi,”lelaki itu menyapaku.
     Aku membalas sapaannya tetapi tidak sempat berbual apabila makananku sampai terlebih dahulu. Aku lalu meminta diri dan terus berlalu menaiki sebuah teksi menuju ke sebuah hotel yang telah ditetapkan untuk aku menginap sepanjang berada di sini.Apabila hari berganjak ke pukul 2.00 petang,barulah aku bertolak ke syarikat maxis untuk bekerjasama menyiapkan tugasan yang diberikan. Aku tidak tahu mengapa aku dipilih untuk turut terlibat dalam hal ini,tetapi yang pasti sebanyak sepuluh orang dipilih dari sepulh buah Negara yang bekerja dengan syarikat telekomunikasi maxis.Di sana,aku sempat berkenalan denganDiego,Francisco,Julia,Fiona, Go Eun Lae dan Jon Tae Sae yang berasal dari Mexico,Sepanyol,Jerman, Korea Selatan dan Korea Utara. Ketua kumpulan kami,iaitu George Lawkins mula membentangkan satu-persatu perancangan yang telah dirangka. Kali ini,dua orang pemain bola sepak dari England dan Argentina akan menjadi model bagi iklan Piala Dunia FIFA 2010.
“hi,guys.”Dua orang lelaki bersusuk tubuh sasa dan tegap memasuki bilik mesyuarat itu.
     Semua yang berada di bilik itu memandang mereka berdua. Dan aku yang berada di situ dapat mengecam wajah salah seorang lelaki tersebut. Benar,lelaki itulah yang aku bertemu pagi tadi ketika di kafe. Tetapi,betulkah dia pemain bola? Ya,badannya tegap, memang sesuai kalau dia itu pemain bola sepak.
“guys,this is Lampard from England and this is Lionel Messi from Argentina. They are who I meant.”
    Oh,sudah aku duga. Lionel Messi. Memang benarlah dia salah seorang anak buah Diego Maradona. Semasa menjalankan sesi fotografi, Lionel Messi sempat mengambil peluang berbual denganku sebentar oleh kerana aku sedang sibuk merangka idea untuk memantapkan lagi iklan. Dia kurang fasih berbahasa Inggeris tetapi masih boleh bercakap dalam bahasa itu dan memahami percakapanku.Kami mengambil masa hamper dua bulan untuk menyiapkan iklan. Proses memilih idea yang sesuai,menyunting,merangka gambar,menyesuaikan tona warna dan mempromosi iklan telah membuatkan aku mengenali sedikit sebanyak latar belakang pemain bola sepak terkenal itu. Malah,dia seringkali mengajak aku keluar makan bersama dengan kawan-kawannya dua bulan ini tetapi kerapkali juga aku menolak pelawaannya. Aku berasa amat senang bekerjasama dengannya selama lapan jam sehari.
“Sara,can you teach me how to speak in Malay?”Aku terkejut demi mendengar pertanyaannya itu.
      Namun,aku terima juga untuk mengajarnya bercakap dalam bahasa Melayu hari demi hari. Daripada menyebut dan mengeja perkataan-perkataan mudah,dia akhirnya boleh bercakap dalam bahasa itu walaupun masih bernada pelat dan kurang jelas. Hari demi hari,hubungan kami semakin erat,banyak masa kami luangkan bersama ketika berada di pejabat maxis.Suatu hari,Lionel Messi masuk dan menyapaku ketika berada di dalam bilik pejabat.
“hai,Sara. Apa khabar? Awak sibuk?”Aku tercengang demi mendengar sapaan itu.
    Ya Allah, aku telah berhasil mengajarnya bercakap dalam bahasa Melayu dalam masa hanya satu bulan. Hampir tiada langsung nada pelatnya kali ini.
“terima kasih kerana sudi mengajar saya bercakap dalam bahasa awak,Sara.”ujar Lionel Messi seraya tersenyum.
    Aku membalas ucapan terima kasihnya lalu meluangkan masa,berbual dan bergelak ketawa bersama-samanya di dalam bilik pejabat itu. Kerana itu, keakraban kami sering disalah erti oleh rakan-rakanwakil syarikat maxis dari Negara-negara lain. Oleh itu, usikan-usikan nakal sentiasa kedengaran pada setiap hari.Suatu hari,aku bersiar-siar di sekitar kawasan Cape Town yang majoritinya diduduki para penduduk berbangsa Jerman. Malah,kota ini juga pernah dijajah dan diperintah oleh orang Jerman,suatu ketika dahulu. Dalam leka menikmati keindahan kota tersebut,tiba-tiba pandanganku tertancap ke arah dua batang tubuh sepasang manusia yang sedang berpelukan di hadapan sebuah kedai aneka cenderamata. Tajam sekali pandanganku ditujah pada tubuh lelaki itu,lelaki yang amat rapat denganku selama tiga bulan ini. Tidak sanggup rasanya untuk aku terus menyaksikan pelukan asmaranya bersama-sama perempuan lain. Lantas,aku berpaling dan beredar tanpa lelaki itu sedar.

                                                              ****************************************

Piala Dunia FIFA sudah bermula pada hari ini. Lionel Messi datang ke bilik pejabatku. Seperti biasa,aku akan melayan segala ocehan, jenakanya dan bergelak tawa bersama-samanya. Namun begitu,aku menjadi bertambah hairan tatkala dia bertanya kepadaku perihal Islam. Tanpa sebarang prasangka,aku menjawab pertanyaannya.“tiada sebarang paksaan untuk kita memeluk Islam. Cuma, dalam hati perlu ada iman dan takwa yang cukup agar kita tidak tersasar dari jalan yang benar.”balasku serba ringkas.Dia hanya mengelukan lidahnya. Selepas hari itu,kami tidak lagi meluangkan masa bersama-sama pada siang hari. Dia dan pasukan Argentina perlu berlatih untuk melawan pasukan Nigeria,Korea Selatan dan Greece nanti. Tetapi, malam masih ada. Hamper setiap malam dia akan mengajakku pergi ke padang bola sepak dan di situlah dia bermain bola sepak sambil meluahkan rasa hati serta menceritakan kehidupan bersama-sama kekasihnya.
  “I met her at the restaurant to talk about our relationship. After FIFA World Cup end, she wants to break off. I’m very frustrated with her because she is a playgirl.”luah lelaki itu suatu hari.
    Aku menghamburkan keluhan perlahan.entah mengapa aku berasa sangat lega mendengar penjelasan lelaki itu. Memang benarlah perempuan itu kekasih Lionel Messi,seperti sangkaanku selama ini.
“Sara,do you want to join us to watch the FIFA World Cup match? Argentina versus South Korea today.”pelawa Diego suatu hari ketika berada di pantry.
“it’s okay, I just want to watch it at the television. I will be there at the quarter final match.”
“oh,no. Go Eun Lae also can’t go,there is one more ticket we had bought. Please, Sara.”rayu Francisco pula.Aku akur juga akhirnya. Ketika berada di stadium itu, aku turut sama bersorak sambil meniup vuvuzela yang bunyinya boleh membingitkan telinga.     Aku,Francisco,Diego,Julia,Fiona dan Jon Tae Sae mengambil tempat duduk di bahagian hadapan. Kerana itulah, Lionel Messi dapat mengecam kami dari jauh ketika pasukannya sedang beraksi.Bermula saat itu, aku terus mengikut Diego,Francisco,Julia,Fiona dan Jon Tae Sae ke setiap perlawanan yang melibatkan pasukan Argentina. Pasukan dari Negara itu Berjaya meraih sebanyak empat gol ketika bertemu dengan Korea Selatan. Manakala, mereka Berjaya menjaringkan dua gol ketika berlawan dengan Greece. Ianya merupakan satu pencapaian baik bagiku dan aku berbangga dengan Lionel Messi walaupun lelaki itu masih tidak dapat menjaringkan gol tersendirinya.“peluang masih ada,Leo. Awak tidak harus menyerah kalah.”Aku cuba memulihkan kekecewaan dari mendung wajahnya pada suatu malam ketika berada di padang bola sepak. Nyata sugulnya tidak berpanjangan apabila dia mendengar nasihat demi nasihat daripadaku. Pada saat itu,dia cuba mengingat segala nasihatku lalu dijadikan dorongan. Tanpa sedar,telah banyak kisah kami kongsi bersama dan semua itu telah berlalu ditelan arus masa.Berkat usaha dan kegigihan mereka, pasukan Argentina akhirnya berjaya melayakkan Negara mereka ke pusingan suku akhir Piala Dunia FIFA 2010. Aku turut berada di stadium Green Point untuk memberi sokongan dan semangat kepada mereka,terutamanya Lionel Messi. Perlawanan di antara dua buah Negara itu berjalan dengan lancar. Namun, kelancaran dua buah Negara berentap tidak begitu memuaskan pihak penyokong Argentina apabila Jerman berjaya meraih sebanyak empat gol manakala Argentina pula… Aku mengeluh kesal dan tidak percaya bahawa Argentina tidak mendapat sebarang jaringan gol.Selepas tamat perlawanan, aku melihat dari jauh wajah Lionel Messi yang dihurungi sugul dan tepu dengan rasa kecewa. Aku mampir kepadanya lalu menegur. Tetapi teguran aku itu hanyalah ibarat sehelai kertas kotor yang dicarik-carikkan lalu dibiarkan berterbangan di dada langit. Lelaki itu tidak mengendahkan sapaanku. Aku pulang ke hotel dalam kehampaan.Aku berjalan menjejaki dada padang bola sepak itu. Penglihatanku jelas tertangkap kelibat sesusuk tubuh manusia yang separa daripadanya disimbahi cahaya lampu sorot di tengah padang itu. Lelaki itu sedang khusyuk menendang bola yang sejak tadi tidak berjaya dimasukkan ke dalam jaring gol.
“malam sudah larut. Why you don’t go back,Leo?”Aku perlahan-lahan menghampiri Lionel Messi dengan begitu tenang. Ketika berada di sebelahnya,aku dapat membaca segala kesulitan dan kekecewaan yang dihadapi melalui paras kacak lelaki itu.
“I want to release my tension. Biarkan saja saya di sini.”
“saya faham awak kecewa,Leo. Tetapi awak juga harus terima hakikat bahawa perjalanan pasukan awak kali ini sampai di sini sahaja.”ujarku perlahan.
“tak! Awak tak faham,Sara! My country can’t play at the semi-final and I never can shoot even one goal at this game! I want to be FIFA World Cup champion! Then,I can’t pay for my sick father’s treatment and I came from a poor family! I had frustrated by a girl just now! You don’t know how is my feeling!”tengking Lionel Messi kuat.Sebutir manik putih beralun perlahan meredahi lekuk-lekuk paras wajah Lionel Messi. Hatinya sebati dipalit pilu dan hiba ketika ini.
“You don’t understand how is my feeling,Sara! I’m  useless! I believe you'll leave me because I’m useless! Let me alone here, Sara! Don’t you come to me again!”marah lelaki itu lagi lalu menendang keras bola sepak ke arah pintu gol,namun,masih tidak masuk.
    Sedu-sedan lelaki itu mulai mengisi ruang padang itu.Kali ini, lelaki itu lebih lebat melimpahkan air mata berbanding tadi. Lelaki itu tunduk,melutut ke arah lantai padang yang dipenuhi rumput yang sudah rapi dipotong.Aku tersentak dek kemarahan yang dihamburkan lelaki itu terhadapku. Hatiku semerta ditusuk sembilu di kala itu. Tubir mataku mulai dibanjiri kaca yang bakal pecah pada bila-bila masa sahaja.
“Leo….”
“I said go away from here!”jerkah Lionel Messi.Air mata yang berkaca-kaca serentak terhempas,pecah berderai pada kedua-dua belah pipiku.
    Hatiku bak ditikam sebilah belati yang tajam meruncing,melimpahkan sebanyak-banyak darah di hati lalu,aku membawa diri yang lara bersama-sama hati yang musnah dikerjakan dan pulang ke hotel penginapanku.                         
                                                         **************************************

Aku memandang polos ke arah sekeping tiket yang sedang aku pegang. Kejadian antara aku dengan Lionel Messi semalam masih melekat pada pita mindaku. Malah, kerana lelaki itu aku bertindak untuk bertolak pulang awal ke Malaysia pada pagi ini. Aku sudah memaklumkan hal ini kepada Fatiha yang setia menungguku di rumah.Dalam khusyuk melayan perasaan,tiba-tiba seluruh bangunan Lapangan Terbang Cape Town itu bergema dengan suara operator yang mengesahkan bahawa penerbangan ke Malaysia akan berlepas dalam masa 15 minit lagi. Lalu,aku berdiri dan menarik bagasi yang pada dengan pakaian-pakaianku. Selamat tinggal,Cape Town. Selamat tinggal, ‘Bandar cinta’. Kenangan-kenangan bersama sama Lionel Messi akan tetap kukuh selamanya di ingatanku.Sebaik sahaja melepasi pemeriksaan bagasi,pemeriksaan diri dan menyemak tiket,aku berjalan memasuki dalam perut kapal terbang tersebut. Aku telah tempat di bahagian ekor belakang kapal terbag,iaitu bahagian yang lazimnya ditempah oleh golongan yang berkedudukan serdahana.Selepas melabuhkan duduk,kapal terbang itu mula bergerak perlahan-lahan. Aku lantas memasang i-Pod yang mengandungi lagu-lagu terini pada telingaku. Sebentar kemudian,aku berpaling memandang ke luar tingkap kapal terbang itu. Saat itu mulutku terngaga dan mataku pula terbuntang. Kelihatan Lionel Messi sedang berlari-lari di sebelah kapal terbang sambil malambai-lambaikan tangan kepadaku. Ya Allah,kenapa dia menngekoriku sehingga ke sini? Namun,lambaian dan lariannya itu tidak mampu menukarkan rajukku kepada rasa kasihan terhadapnya kala itu. Lalu, aku mengalihkan pandangan dan membiarkan lelaki itu mengejarku sehabis tenaganya.Tekadku kini hanyalah mahu pulang ke Malaysia dan mengabadikan lelaki itu sebagai kenangan terindah dalam hidupku.

Karya oleh:NURFATIHA YAHYA
Fatihanur93@yahoo.com
Kemaman,Terengganu. Malaysia.

                                                                  ****************************************

Lionel Messi segera menghabiskan pembacaannya sehingga ke ayat yang terakhir. Dia tidak menyangka kisah benarnya bersama-sama Sara di Afrika Selatan diabadikan dalam bentuk cerpen di dalam laman facebook. Malah,dia yakin bahawa cerpen ini telah disebarkan ke seluruh dunia secara online. Ya Tuhan,baru kini dia mengetahui perasaannya yang sebenar terhadap gadis itu setelah hamper satu bulan diri masing-masing tidak saling menghubungi. Rindu yang pada mulanya nipis kini semakin tebal bertapak di lubuk hati. Dia harus mencari jalan untuk bersemuka dengan gadis itu. Dia harus berusaha bagi memburu sebuah kemaafan.Hanya satu cara sahaja yang perlu lelaki itu lakukan. Dia harus segera menempah tiket kapal terbang untuk ke Malaysia. Dia perlu mendengar segala-galanya daripada bibir Sara sendiri. Lionel Messi segera pergi setelah bajunya selesai diletakkan ke dalam bagasi. Dia harus tiba di Malaysia secepat yang mungkin.

                                                                             **********************************

Lelaki itu berjalan meronda-ronda hampir segenap ruang dalam pusat membeli-belah Mesra Mall,yang sentiasa sesak dengan manusia-manusia yang sibuk membeli-belah. Dia cuba mencari-cari kelibat Sara jika gadis tersebut berada di situ. Lelaki itu sudah berjaya menjejaki rumah Sara tetapi diberitahu oleh Fatiha bahawa gadis itu keluar ke Mesra Mall tatkala dia sampai di rumah gadis itu tadi.Sedang Lionel Messi berjalan-jalan,tiba-tiba matanya tertancap ke arah dalam Kedai Buku Popular. Entah mengapa,mindanya mengasak-asak supaya dia segera masuk ke dalam perut kedai itu.
    Lelaki itu terus meredah satu-persatu rak-rak buku yang menempatkan buku-buku seperti majalah,buku resipi,jurnal,novel seram,komik dan…apabila Mhu melintasi bahagian rak ayng menempatkan novel-novel cinta,langkah kakinya tiba-tiba terhenti. Dari jauh terpacul batang tubuh seorang gadis yang bertudung litup sedang leka membaca sinopsis novel bertajuk ‘CINTA KAU DAN AKU’.Lionel Messi bergerak perlahan menghampiri gadis itu.
 “Siti Sara?”
    Aku berpaling demi mendengar namaku dipanggil. Aku terkejut. Di sisiku berdirinya seorang lelaki yang bernama Lionel Messi,lelaki yang pernah mencuri hati wanitaku ini.
“Leo?”
    Kami saling bertatapan untuk lama ketikanya. Secebis senyuman gembira terukir pada bibir kami.Cinta yang berputik kini ranum dan berbuah melebat. Rindu yang erat terikat kini terlerai daripada hati. Sayang sepasang sahabat menjadi kasih sepasang kekasih.Inilah dia FIFA yang sebenar,Fantasi Ilham FAtiha yang benar.