Saturday 26 March 2016

Suasana Di Pesta Buku

24 Mac 2016...

Hari ini saya telah pergi ke Pesta Buku Utara yang berlangsung selama seminggu di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah. Bukan sahaja Pesta Buku, tetapi Pesta IT dan PC juga turut diadakan selama seminggu di laman sebelah perpustakaan itu. Sempena pesta ini juga, para pelajar kelas Sains Pemikiran dan Etika kumpulan D diarahkan oleh Dr. Ahmad Sahidah untuk menceritakan suasana sepanjang berada di Pesta Buku disertakan sekali dengan gambar. Namun begitu, tugasan yang diberikan adalah untuk menceritakan suasana di situ lebih daripada apa yang ada di dalam gambar. Seperti biasa, pelbagai  jenis pengunjung yang  dapat saya lihat sepanjang saya berada di sana. Paling saya tidak boleh lupa apabila seorang lelaki bersama isteri dan anak-anaknya bertanya kepada saya ketika saya berada di tapak Pesta IT dan PC, ketika itu saya baru sahaja selesai mengunjungi Pesta Buku. "Adik, pesta buku ada lagi dak?" Dia bertanya dengan loghat Kedahnya. Saya tersenyum sambil menjawab, "ada lagi, buka lagi". Dalam hati saya terdetik, "bagus abang ni, semangat mahu membeli naskhah buku-buku ilmiah, mungkin juga dia mahu membeli buku untuk dia, isteri dan anak-anaknya". Ketika ini, tidak ramai yang datang ke Pesta Buku. Bilangan pengunjungnya pada anggaran saya, hanya mencecah 50 orang sahaja saat ini. Mungkin kerana masih petang. Lazimnya, setiap kali pesta dilangsungkan, para pelajar akan turun melihat dan membeli di pesta pada waktu malam. 
     Pelbagai jenis atau genre buku dari pelbagai penerbit terdapat di sana. Kitab al-Quran, motivasi, novel-novel fantasi, mencabar dan cinta, buku-buku biografi dan buku-buku cerita teladan serta buku-buku pelajaran. Malahan, kali ini saya dapati buku-buku ulangkaji murid-murid sekolah turut dijual, berbeza dengan pesta buku yang diadakan pada tahun lepas. Selain itu, saya kagum dengan para pengunjung di Pesta Buku itu. Mereka kelihatan bersungguh-sungguh mahu membeli buku. Mungkin kerana mereka percaya ilmu itu sangat berguna, bukan sahaja di dunia, tetapi juga selepas mati. Ada yang membeli kitab al-Quran, ada yang membeli buku-buku cerita teladan, ada yang membeli novel, ada yang membeli buku-buku motivasi dan tidak kurang juga ada yang membeli buku-buku pelajaran.
     Para pengunjung pula bukan sahaja daripada kalangan pelajar UUM, tetapi juga dari luar UUM. Malah, pelbagai rupa pengunjung yang dapat dilihat. Seperti lelaki yang bertanya tadi, saya jangka dia bukanlah warga UUM, tetapi tinggal berdekatan dengan UUM. Selain itu, ada di antara pengunjung yang berpakaian formal dan ada juga di antara mereka yang berpakaian santai. Ada juga dalam kalangan mereka yang sudah berusia dan ada yang masih muda, remaja malahan kanak-kanak. Ada yang datang sekeluarga, ada yang datang berseorangan dan ada yang datang berteman. Ada yang mendukung anak sambil membelek-belek buku dan ada suami melayan anak sambil menunggu isteri memilih buku. Ada pelajar yang menunggu rakan-rakannya di kerusi menunggu. Ada juga yang sesudah membeli buku, terus membaca bukunya di meja belajar yang terdapat di hadapan kedai barangan komputer di hadapan tapak Pesta Buku. Ada yang ke hulu ke hilir mencari-cari buku yang sekian lama dihajati. Tidak kurang juga yang sekadar membelek tanpa membeli buku tersebut. Ada juga yang sesudah membeli buku, terus ke tapak Pesta IT dan PC. Apabila melihat suasana ini, saya teringat akan kata-kata dari Plato, "knowledge is the food of the soul". Ilmu itu adalah makanan kepada nyawa. Ibarat tiada ilmu, matilah nyawa. Kebanyakan ilmu juga diperolehi menerusi pembacaan dan pengalaman. Mereka yang mengunjungi Pesta Buku ini kelihatannya tidak mengira taraf, usia dan sangat mementingkan ilmu. Malahan, seakan-akan mereka memanfaatkan kata-kata Plato dalam kehidupan seharian mereka. Tambahan pula, setiap agama menyeru penganutnya mencari ilmu dan sebolehnya setelah memperolehi ilmu, manfaatkanlah ilmu itu. 
   Saya mula sedar, apa yang saya tulis ini bukanlah sekadar tugasan, tetapi juga adalah mekanisme untuk menceritakan apakah yang kita fikirkan berdasarkan pemerhatian saya terhadap suasana sebegini. Ianya bukanlah bergantung kepada suasana, tetapi apakah bentuk pemikiran kita terhadap suasana tersebut. Suasana hanyalah perkara sampingan yang menolong kita untuk menilai.

No comments:

Post a Comment