Saturday 26 March 2016

Keranamu Ayah



Oleh: Fateen Nurillia Yahya
Aku termenung di jendela. Bunyi kicauan burung dan cuaca yang tenang pada hari ini telah menenangkan jiwaku. Dalam keenakan menikmati suasana tenang itu, tiba-tiba di telingaku terngiang-ngiang kembali setiap patah kata Tok Abah.
     “Kita harus mencari sesuatu untuk mempertahankan sesuatu.”
     Itulah kata Tok Abah. Sebenarnya, itulah jawapan Tok Abah setiap kali aku mempersoalkan perbuatannya yang tidak jemu-jemu melatih aku dalam pelbagai kemahiran ketenteraan yang dimilikinya. Dia melatih aku sejak kecil sehinggalah aku mahir, tetapi aku masih tertanya-tanya mengapa Tok Abah membuat begitu. Sudah 17 tahun aku menyoal perkara yang sama kepadanya, namun, jawapannya tetap sama. Aku juga hairan mengapa aku dilahirkan tanpa bapa, tidak seperti kanak-kanak yang lain, malah, Tok Abah, Tok Ma dan ibu tidak pernah bercerita tentang bapaku. Sepanjang 17 tahun hidup di sini, aku mengetahui tentang Tok Abah yang merupakan bapa kepada bapaku dan merupakan seorang bekas tentera darat yang pernah berjuang membebaskan tanah air daripada dirampas oleh komunis.
     “Zahara, masa untuk berlatih. Jangan buang masa.”ujar Tok Abah dengan tegas ketika memasuki bilik aku.
     Aku hanya menurut perintah Tok Abah yang sememangnya garang dalam lembut itu. Aku tidak mahu buat perangai. Aku pernah diselam di dalam lumpur kerana tidak mematuhi arahan. Aku juga pernah diikat di pokok kerana tidak berlatih. Aku juga pernah disebat hingga berdarah kerana tidak melakukan latihan dengan betul.  Hari ini aku hanya perlu berlatih sehingga tengah hari sahaja kerana Tok Abah ingin pergi memburu haiwan di hutan yang berhampiran rumah kami.
     Lazimnya, Tok Abah mengambil masa selama dua hari untuk memburu di hutan, tetapi hari ini aku, Tok Ma dan ibu dikejutkan dengan berita Tok Abah dibawa pulang dari hutan. Kami terkejut kerana tidak sampai sehari Tok Abah ke hutan, dia sudah dibawa pulang ke rumah.
     “Tok Abah kena tembak.”ujar Syahril.
     Pemuda berusia 24 tahun itulah yang membawa Tok Abah pulang. Memang pemuda itu sering memburu haiwan dengan Tok Abah. Aku menangis sambil menggenggam erat tangan Tok Abah yang sedang bergelut dengan kesakitan di dadanya. Tok Ma dan ibu pula sama-sama membisikkan kalimah syahadah ke telinga Tok Abah.
     “Jagalah Tok Ma dan ibumu, Zahara. Lindungilah kedua-dua mereka. Ingatlah, kita harus mencari sesuatu untuk mempertahankan sesuatu.”
    “Tapi, Tok Abah…”
     “Pergilah dari sini dengan Tok Ma dan ibumu. Jangan datang ke sini lagi.”pesan Tok Abah dalam nafas terakhirnya.
     Aku menelan juga peristiwa pemergian Tok Abah walaupun amat payah dan perit. Tok Abah sudah selamat disemadikan di pusara. Kini aku, Tok Ma dan ibu telah memulakan hidup baru di tempat yang baru, seperti yang dipesan arwah Tok Abah. Aku juga telah menabur tenagaku sebagai guru Pendidikan Jasmani di sebuah sekolah menengah sejak sebulan yang lalu. Kerja sebagai guru PJK tidaklah sukar bagiku kerana sudah lumrah dalam hidupku yang sejak kecil dilatih seperti seorang askar. Ada ketikanya aku terlalu garang dalam mengajar anak-anak muridku, seperti arwah Tok Abah.
     “Syafiq, kaki kiri awak bergerak! Pumping 10 kali sekarang!”arahku dengan garang.
     Hari ini aku telah melatih anak-anak muridku dalam permainan bola jaring. Pertandingan bola jaring akan diadakan tidak lama lagi.
     “Amboi, garang sungguh.”tegur seorang guru PJK lelaki.
     Aku tersenyum mendengar teguran itu. Selama sebulan mencurahkan bakti di sekolah itu, guru lelaki itu sentiasa mahu menarik perhatianku dengan pelbagai cara yang dilakukan. Aku pula hanya buat tidak endah walaupun sesekali gayanya itu menarik hatiku untuk berkenalan dengannya. Oleh kerana tidak tahan dengan layanan yang diberikan, aku akhirnya menerima salam perkenalannya. Aku mula menjalin persahabatan dengannya. Aku mula berani menghadiri temu janji yang diatur oleh lelaki itu. Aku juga sudah berani menjejakkan kaki ke rumahnya tanpa ragu-ragu.
     “You duduk dulu, I pergi buat air.”
     Aku duduk di sofa sambil melihat sebuah gambar di dalam bingkai di atas sebuah meja kayu yang agak usang. Mungkin juga itu gambar keluarga lelaki itu. Entahlah, aku juga tidak tahu. Lantas, aku terkenangkan keluargaku yang tidak lengkap. Aku tidak berbapa. Aku tidak pernah merasai kasih sayang seorang bapa. Lamunanku tercantas tatkala aku menyedari ada sebilah pisau sedang menyentuh leherku.
     “Kalau melawan, I akan rogol dan bunuh you.”
     Aku tidak kecut perut dengan ugutan guru lelaki itu. Pesanan Tok Abah supaya sentiasa tenang kala berdepan dengan musuh berlegar-legar di otakku. Aku tidak tahu sejak bila lelaki itu berada di belakang. Dengan perlahan-lahan, aku mengenggam kuat lengan lelaki itu dan melambungkan tubuhnya ke hadapan. Pisau yang tadi berada di leherku, aku tujahkan ke dadanya. Lelaki itu mengaku tewas.  Aku keluar dari rumah itu setelah tahu mengapa Tok Abah dibunuh. Lelaki tadi telah aku bunuh setelah tahu dia diupah untuk membunuhku. Benakku lantas memikirkan tentang Tok Ma dan ibu. Nyawa mereka tidak selamat sekarang.
     “Arwah ayahmu seorang ahli kumpulan mafia dulu. Dia telah membelot kerana ditipu oleh ketua mafia dan membunuh semua keluarga ketua mafia. Dia telah dibunuh oleh ketuanya ketika kamu masih dalam kandungan.”
     “Ketua mafia berjanji mahu membunuh semua ahli keluarga ayahmu.”
     Begitulah kata Tok Ma dan ibu setelah aku mendesak mereka untuk bercerita tentang bapa. Kini aku mengerti akan kalimah Tok Abah, ‘kita harus mencari sesuatu untuk mempertahankan sesuatu.’ Menurut Tok Ma, Tok Abah mencari sesuatu dalam diriku dan telah menemui semangat yang kental dan tekad yang ku`at lahir dalam jiwaku, kerana itulah Tok Abah melatihku untuk mempertahankan diriku, Tok Ma dan ibu daripada dibunuh. Mereka tidak menjawab apabila aku bertanya mengapa ketua mafia itu tidak membunuh mereka pada masa itu juga.
    Aku berjanji selagi nyawaku masih ada, aku akan mempertahankan nyawa keluargaku. Aku mengembara demi menyudahkan perkara yang tidak selesai. Tok Ma dan ibu aku tinggalkan dengan janji akan mengirim surat pada setiap minggu. Semua simpanan aku bawa untuk keperluan semasa mengembara. Aku berjaya mengembara ke Beijing, Laos, India…dan kini, aku sudah berada di New York City, USA. Walaupun tidak tahu di mana ketua mafia itu berada, aku tetap tidak berputus asa untuk menjejakinya. Kata ibu, ketua mafia itu boleh berada di mana-mana sahaja di luar negara. Aku juga tahu  nyawaku menjadi taruhan, tetapi aku tidak pedulikan semua itu. Sudah seminggu aku berada di New York, simpanan aku sudah mula berkurangan. Aku mendapatkan kerja sebagai seorang pelayan di sebuah restoran bagi menampung perbelanjaan harian.
     Aku memakai seragam pelayan dan mengenakan topi. Dari jauh kelihatan seorang pemuda baru sahaja melabuhkan duduk di sebuah meja. Aku melayan lelaki itu. Usai sahaja lelaki itu selesai makan dan berlalu dari restoran itu, aku mengemas meja itu. Aku perasan di atas meja itu ada secebis kertas yang tertulis sebaris nombor telefon. Aku faham apakah maksudnya itu. Sejak aku menerima nombor telefon itu, semakin kerap lelaki itu datang ke restoran itu. Aku tidak melayan semua tingkah lakunya. Pengalaman yang lepas telah mengajarku agar tidak mempercayai lelaki dengan mudah. Oleh kerana aku tidak melayan, dia sanggup mengekoriku sehingga ke dapur restoran.
     “Tolong hentikan semua ni.”ujarku dengan tegas apabila lelaki itu masih mengekoriku ke dapur.
     “Boleh, tapi awak kena kawan dengan saya. Awak boleh percayakan saya.”
     Aku menerima Ashraf sebagai kawan dalam berhati-hati. Aku mula mengenali Ashraf yang jujur dan amat mementingkan masa. Pernah pemilik sebuah pasaraya di New York itu melenting kala aku terlewat datang ke tempat temu janji. Kejujuran pemuda itu tidak pernah aku lihat ada pada lelaki lain.
     “Ash, saya percayakan awak. Saya nak awak tolong jaga Tok Ma dan ibu saya.”
     Walaupun lelaki itu tidak tahu mengapa dia disuruh menjaga Tok Ma dan ibu, namun, lelaki itu hanya menurut permintaanku. Dia sanggup buat apa sahaja demi persahabatan aku dan dia. Kisah yang sebenar terpaksa aku rahsiakan. Walaupun pengembaraanku atas tujuan lain, namun, aku dapat mengenal pelbagai budaya dan bergaul dengan pelbagai kaum. Budaya masyarakat sekeliling telah mengajarku erti hidup yang sebenar. Aku telah belajar cara hidup berdikari. Tidakku nafikan hidup di negara orang telah menjadikan aku lebih matang. Aku masih meneruskan pekerjaanku sebagai pelayan. Aku mengemas sebuah meja makan. Di atas meja itu tertampal sekeping nota yang tertulis ‘pandang depan’. Mustahil nota itu daripada Ashraf. Lelaki itu tiada di New York kerana menjaga Tok Ma dan ibu. Aku mula berasa tidak sedap hati.
     Tanpa memandang ke hadapan seperti yang dipinta, aku bergegas berguling dan menyorokkan diriku di belakang sebuah tiang yang berdekatan. Sebutir peluru C4 nyaris mengenaiku dan telah menembusi kepala seorang juruwang di kaunter restoran. Jika aku tidak lari, aku akan terbunuh. Dari jauh kelihatan seorang ‘jurukamera’ lelaki meninggalkan restoran itu dengan tenang. Suasana yang tenteram serta-merta menjadi hingar-bingar. Semua pelanggan menjadi panik.
      Nyawaku tidak selamat lagi.  Aku segera berlari pulang ke rumah sewa.
     “Hai.”
     Seorang gadis yang mendakwa sebagai penyewa baru telah berdiri di muka pintu rumah sewa itu. Aku dapat membaca setiap gerak laku gadis itu. Mungkinkah gadis itu turut diupah untuk membunuhku? Aku lantas menangkap dan memeluk kemas tubuh sambil memaut lehernya dengan kuat. Tubuh gadis itu kurebahkan ke lantai.
    “Kat mana ketua mafia tu?”
     Aku menekan tulang punggung gadis itu sehingga patah dengan kakiku apabila gadis itu enggan memberitahu.
    “Berlin, Jerman.”
     Gadis itu menjawab setelah tidak tertanggung menahan sakit. Aku mematahkan leher hingga gadis itu mati dan terus mengembara ke Berlin. Aku menuju ke sebuah gereja yang didiami ketua mafia itu, seperti yang didakwa gadis itu. Puas aku mencari, namun kelibat ketua mafia itu masih tidak aku jumpa. Aku membaca tulisan di atas sekeping poskad yang telah diberi oleh seorang kanak-kanak perempuan sebentar tadi.
     ‘Memburu seseorang yang tak pasti berada di mana hanyalah membazir masa dan tenaga. Lebih baik fikirkan keselamatan keluarga awak.’
     Dua ayat yang tertulis di poskad itu pantas memasuki otakku. Mungkin juga ketua mafia yang telah menghantar poskad itu. Daripada catatan di poskad itu, aku pasti bahawa ketua mafia itu berada tidak jauh dari tempat Tok Ma dan ibu disembunyikan. Tanpa berfikir lagi, aku terus terbang pulang untuk menyelamatkan Tok Ma, ibu dan Ashraf.
    Nyawaku seakan-akan disentap tatkala aku memasuki tempat persembunyian Tok Ma dan ibu. Kedua-dua insan yang paling aku sayang sudah tiada lagi. Aku melihat Ashraf sedang merangkak-rangkak dengan keadaan berlumuran darah sambil mengerang kesakitan di dada dan lututnya yang telah ditembak. Tanpa menghiraukan awan mendung yang menyelubungi hatiku, aku memangku Ashraf yang sedang menderita. Segumpal perasaan bersalah pantas menghurungi hatiku sambil setitis demi setitis air jernih keluar dari mataku. Aku bersalah kerana telah menyusahkan hidup Ashraf. Lelaki itu telah mempertaruhkan nyawanya demi Tok Ma dan ibu.
     “Saya minta maaf, Zahara. Tapi janjilah, saya sahabat awak selamanya.”
    Setelah mengungkap kata-kata itu, Ashraf pergi jua ketika di pangkuanku. Aku telah kehilangan satu-satunya kawan yang tidak ternilai buatku. Seketul perasaan amarah memukul hatiku. Aku telah bertekad. Aku harus mengejar ketua mafia itu sehingga di akhir garisan. Aku teringat kembali pesanan Tok Abah.
     “Pergilah dari sini dengan Tok Ma dan ibumu. Jangan pernah lagi datang ke sini.”pesan Tok Abah dalam nafas terakhirnya.
      Aku amat pasti ada sebabnya mengapa Tok Abah tidak membenarkan aku, Tok Ma dan ibu kembali lagi ke tempat tinggal lama kami. Aku menuju ke perkampungan lama kami dengan sebuah trak lama milik Tok Abah yang sememangnya sudah lama tersadai di tempat itu. Sepanjang perjalanan ke sana, aku tertanya-tanya mengapakah Tok Abah berpesan begitu.
     Sesusuk tubuh lelaki yang dibaluti dengan pakaian serba putih menerpa di mata ketika aku memasuki rumah tempat tinggal lamaku. Wajah 60-an lelaki itu yang berkaca mata hitam telah meyakinkanku bahawa dialah ketua mafia itu. Ruang rumah itu pula dipenuhi ahli-ahli kumpulan mafia yang bertubuh sasa dan berwajah begitu ganas.
     “Well done, sweetheart.”
     Lelaki itu merenungku dengan senyuman jahat, sejahat-jahat rejim Zionis yang menindas Palestin. Dapat kubaca segala-galanya dari senyumannya itu.
     “Ayah kau bunuh anak aku di` rumah lama aku. Aku nak habiskan dendam aku kat sini, seperti yang ayah kau buat pada anak aku.”
    Aku amat mengerti setiap patah katanya. Fahamlah aku mengapa Tok Abah melarang kami ke sini semula. Aku juga sudah faham mengapa Tok Abah, Tok Ma dan ibu tidak dibunuh sama waktu dengan ayahku. Dia mahu melihat keluargaku menderita seperti yang dirasainya. Sebuah renungan penuh berapi aku tujahkan padanya. Amarahku sudah tidak tertahan lagi.
     “Bagi balik Tok Ma dan ibuku.”
     “Kalau tak?”
     Sebuah senyuman sinis tergantung pada wajah lelaki itu. Rasa marahku semakin membara. Aku mara ke depan dan cuba menyerang lelaki itu, tetapi langkahku dihalang oleh ‘anak-anak buah’ lelaki itu. Kedua-dua lenganku mereka genggam dengan kemas. Aku ditarik semula ke belakang. Seribu dayaku tidak mampu melawan sejuta daya lelaki-lelaki itu.
     “Mungkin ayah kau suka tengok singa dalam hutan berbanding singa dalam sarkas.”
     Lelaki itu terus menapak pergi dari situ bersama-sama kereta api yang sedang menantinya di luar. Aku pula diarahkan mati di tangan ‘anak-anak buahnya’. Dengan segala kemahiran ketenteraan yang aku pelajari, aku mengumpul daya yang masih bersisa demi melawan lelaki-lelaki ganas itu. Kapak, parang dan rantai besi yang kasar dilibas kepadaku. Walaupun digertak, semangatku tidak roboh begitu sahaja.  Demi Tok Ma dan ibu, aku sanggup lakukan apa sahaja.  Dengan semangat yang dibekalkan di dada, aku mampu mengalahkan semua lelaki itu. Kecederaan yang parah akibat berlawan tidak menghalang aku untuk terus menjejaki ketua mafia itu.
     Dengan tangan yang patah, kaki yang berdarah dan terkehel, aku berlari mengejar kereta api yang sedang bergerak laju di landasan. Aku melompat ke dalam kereta api itu dan menemui ketua mafia yang berada di gerabak minyak tanah yang diseludup.
     “Selamat petang, ketua mafia.”
     Lelaki itu memasang riak terkejut. Aku terus menyerang lelaki itu dengan tenaga yang aku ada. Dia berkali-kali cuba menikamku dengan pisau, tetapi aku lebih cekap menepisnya. Aku cuba melanyak dia. Dia tangkas mempertahankan dirinya. Dia mencapai selaras senapang yang berada tidak jauh dari situ. Sudah tentu dia berasa aku terlalu susah untuk mati.
     “Matilah kau.”
    Aku memandang senapang yang sedang elok ditujah ke kepalaku. Aku terus melompat keluar dari kereta api tanpa sempat peluru senapang itu mengenai kepalaku. Sebentar kemudian, kereta api itu meletup. Peluru senapang itu telah menembusi segelen minyak tanah. Aku nyaris disambar api dek meletupnya kereta api itu.
     “Selamat malam, ketua mafia.”
     Dengan keadaan yang agak lemah tetapi dipenuhi semangat yang kental, aku mentafsir semula kata-kata ketua mafia itu.    
    “Mungkin ayah kau suka tengok singa dalam hutan berbanding singa dalam sarkas.”
     Aku bangkit dari jatuhku di atas tanah dan memasang langkah seribu ke dalam hutan. Aku telah menemui Tok Ma dan ibu yang telah diikat di pokok. Di situ, dua ekor singa sedang ‘menjaga’ kedua-dua mangsa yang mahu dibaham. Tok Ma dan ibu menghamburkan sehabis suara mereka agar aku tidak mendekati mereka, namun semangatku mengatasi jeritan mereka. Aku sanggup bergadai nyawa demi Tok Ma dan ibu.
     Aku bersedia menghadapi dua ekor singa yang berwajah garang dan tidak berperasaan itu. Jasadku sudah lemah, tetapi jiwaku tidak. Aku berlawan dengan dua ekor singa itu sehingga aku rebah ketika diterkam mereka. Sebahagian lengan tanganku telah dibaham oleh mereka. Aku menjadi semakin lemah dan akhirnya…pandanganku berubah hitam.
     BANGGG!!! Kedua-dua ekor singa itu pantas melarikan diri sebaik terdengar sedas tembakan itu.      
Aku menghirup secawan teh yang sedang berasap itu. Rasanya sungguh segar dan nikmat sekali, sesegar ingatanku terhadap peristiwa yang lepas. Kicauan sitta pygmea menemani hariku. Kelihatan dua ekor anak kucingku yang comel bermain sesama mereka. Aku bahagia melihat mereka. Sejuta kesyukuran aku panjatkan kepada Ilahi kerana masih diizinkan bernafas di alam fana ini. DIA telah mengirim Syahril untuk membantuku ketika aku nyaris mati dibaham singa. Dalam balutan luka-luka dalam di fizikal yang semakin menghampiri tempoh pulihnya, aku merenung kembali setiap cabaran yang aku hadapi. Kerana perbuatan ayah, aku telah mengenali dunia dengan lebih dekat. Kerana ayah, aku ditemukan dengan Ashraf. Keranamu ayah, aku mengenal erti perjuangan. Keranamu ayah, aku mampu membina hidup aman damai dengan Tok Ma dan ibu sekarang. Di sebalik pahitnya setiap cabaran itu, ada gula yang terselit di dalamnya.



   
    

    
    
      

No comments:

Post a Comment