Sunday 3 April 2016

Hadiah Untuk Ayah


                      
OLEH: FATEEN NURILLIA YAHYA
Alunan petikan gitar bermelodi melankolik itu mengisi kesunyian halaman rumah yang kelihatan tenang. Hatiku yang sejak tadi tenang kini bernada sedih, seiring dengan petikan gitar akustik itu. Dari jendela bilik, mataku tertangkap kelibat ayah yang sedang duduk di atas pangkin sambil memetik melodi Salam Terakhir pada gitarnya. Wajahnya pula kelihatan tenang, namun, aku dapat membaca segala-galanya. Di sebalik ketenangan wajah itu ada sejuta duka yang bermukim di hatinya. Ini bukan kali pertama aku melihat ayahku begitu. Sudah bertahun-tahun lamanya dia begitu. Mungkin juga sebelum aku lahir dia sudah begitu. Setiap hari, pasti tidak lekang gitar berusia lebih 40 tahun itu dari tangannya.
     “Ayah kau tu sebenarnya nak jadi pemain gitar, tapi atuk dan nenek kau tak benarkan. Hidup keluarga ayah kau tak cukup makan. Nak tubuhkan pancaragam, bukannya pakai air liur aje.”
     Aku teringat kembali kata-kata emak ketika aku menolongnya memasak makanan tengah hari tadi. Benar, hidup keluarga ayah begitu daif. Lebih daif berbanding dengan kehidupan kami sekeluarga sekarang. Tetapi bagiku, tiada apa yang dapat menghalang ayah untuk mencapai impiannya itu. Aku pasti ayah kurang keyakinan diri sehingga dia menyerahkan segalanya kepada takdir yang sememangnya tidak menggembirakan hatinya. Bagiku, tiada apa yang dapat menghalangku untuk mencapai impian asalkan impianku itu tidak salah. Walau bagaimanapun, tatkala melihat keadaan ayah, hatiku kadang kala berasa terluka juga. Aku terluka kerana tidak pernah dapat menggembirakan hati ayah. Selama ini, jika aku dan tujuh orang adikku mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan, ayah melahirkan rasa gembira, tetapi aku tahu perasaan itu palsu semata-mata. Mungkin adik-adikku tidak perasan, tetapi aku lebih memahami ayah. Semakin dewasa, semakin aku mengerti tentang ayah.
     “Kaklong, ada surat sampai tadi untuk kau. Mak letak kat tepi tv.”
     Emak meraung dari dapur ketika aku pulang dari mengaji al-Quran di surau. Aku menuju ke televisyen dan membuka surat yang bercop itu. Hatiku semerta menjadi riang. Impianku telah menjadi kenyataan. Aku memeluk kemas surat itu di dada, namun, hatiku berubah menjadi sayu tatkala sealunan melodi melankolik menyapa telingaku. Ayah sedang memetik gitar di ruang tamu. Aku menjadi sedih tiba-tiba. Aku terkenangkan ayah yang tidak dapat mencapai impiannya sepertiku. Ayah mengerah keringatnya di sawah ketika petang sahaja. Jika tidak ke sawah, begitulah keadaannya. Emak pula sentiasa berleter tentang sikap ayahnya yang baginya sudah lupa tanggungjawab.
     Hari berganti hari, hari ini sudah tiba masanya untuk aku meninggalkan keluarga di kampung dan mencapai cita-citaku. Walaupun masih sedih, aku terpaksa demi impianku. Aku perlu mengubah nasib diri dan keluarga. Bidang perubatan adalah pilihanku kerana aku cemerlang dalam matematik tambahan, biologi, kimia dan fizik dalam STPM.
     “Jaga diri baik-baik. Ingat keluarga selalu.”
     Ayah berpesan ketika menghantarku ke stesen bas. Ibu pula tidak henti-henti mengalirkan air matanya. Aku hanya menahan sebak sambil berfikir ini bukanlah kali terakhir aku pergi dari sini. Tetapi aku risau jika aku ‘pergi’ dahulu tanpa sempat membuat ayah gembira. Aku tahu walaupun ayah tidak gembira, tetapi ayah berbangga memperoleh anak-anak yang pintar.
     Sudah kira-kira empat bulan aku menjejakkan kaki ke menara gading. Di sana, aku mengenali seorang sahabat lelaki. Walaupun bukan dalam bidang pengajian yang sama, kami tetap rapat, namun, batas-batas pergaulan sentiasa menjadi pedoman kami. Dia sentiasa menolongku kala susah. Dia sentiasa ada denganku kala senang. Dia sentiasa menyokong dalam apa jua jalan yang aku pilih. Setiap budinya aku hargai. Walaupun hidupnya lebih senang daripadaku, dia tidak kisah berkawan dengan golongan yang tidak setaraf dengannya. Aku bersyukur kerana dikurniakan sahabat lelaki yang baik sepertinya.
     “Murni, mama aku ajak minum petang. Kau ikutlah sekali.”
     Suatu petang, Muaz mengajakku ke rumahnya. Sepanjang berada di rumahnya, aku terusik dengan sikap Muaz yang pandai melayan mama dan papanya. Kedua-dua orang tua itu begitu dihormatinya. Aku melihat lelaki itu berusaha sedaya upaya membuat mama dan papanya gembira. Aku kembali terkenangkan ayah. Aku tidak pernah menggembirakan hati ayah seperti yang Muaz lakukan. Aku tidak tahu bagaimana mahu menggembirakan hati ayah.
     Setelah hampir setengah tahun menuntut di universiti, cuti semester pun tiba. Aku pulang ke rumah untuk tempoh sebulan. Sepanjang tempoh itu, aku mengisi masaku dengan bekerja di kedai runcit dan menolong ayah di sawah. Penat memang tidak boleh dinafikan, tetapi aku tiada jalan lain untuk mendapatkan wang. Aku memerlukan wang untuk menampung perbelanjaanku di universiti. Aku tidak boleh mengharapkan biasiswa semata-mata. Pada setiap pagi aku akan ke kedai runcit dan petang pula ke sawah.  Petang itu, setelah penat membanting tulang di sawah, aku pulang ke rumah. Ketika keluar dari bilik dan bersiap-siap untuk menyucikan diri, aku terdengar ayah menjerkah ibu di dalam bilik.
     Hatiku pantas diserang gemuruh. Seingatku, inilah pertengkaran paling hebat antara ibu dengan ayah. Selama ini, tidak pernah ayah menjerkah ibu sebegitu rupa. Ketika aku berusaha memadam rasa gemuruh, aku lihat pintu bilik ibu dan ayah dikuak dengan kasar. Aku lihat ayah sudah menjejakkan kaki keluar dari rumah. Ibu pula kulihat sudah terduduk lemah di atas lantai biliknya sambil menangis teresak-esak. Aku menenangkan ibu yang sudah pasti terluka dijerkah oleh ayah. Aku tidak dapat menerima hakikat bahawa ibu telah membuang gitar tua ayah yang dianggap telah membuatkan ayah alpa dengan tanggungjawabnya.
     Aku keluar dari rumah dan berusaha mengejar ayah. Dari jauh pandanganku tertangkap jasad ayah yang sedang memeluk erat gitar tua yang sudah hancur di tepi sebuah tong sampah. Pada wajah ayah, mengalir setitis demi setitis air mata yang tidak pernah aku lihat selama ini.  Esakan demi esakan yang lahir daripada ayah telah membuatkan hatiku pilu. Sambil pulang ke rumah, pipiku sarat dengan aliran air mata. Luluh hatiku tatkala melihat ayah begitu.
    Tabung duitku aku pecahkan. Aku segera menuju ke bandar. Aku mahu menamatkan kesedihan ayah pada saat itu juga. Sebuah kedai peralatan muzik aku kunjungi. Demi ayah, aku sanggup melakukan apa sahaja. Gajiku selama menjadi pesawah dan pekerja kedai runcit aku campur dengan baki wang biasiswa yang masih ada separuh di dalam akaun. Sebuah gitar elektrik berharga RM1500 aku beli untuk ayah. Harapanku, semoga pemberian yang tidak seberapa ini akan membuatkan hati ayah gembira.
     Aku menerima perkhabaran yang ternyata di luar jangkaanku ketika sampai di rumah. Aku keluar dari rumah setelah menerima perkhabaran mengejut itu. Gitar elektrik yang baru dibeli, aku bawa bersama.
     “Ayah kau telah pergi dari sini. Mak sudah diceraikannya.”
     Aku mengingati kata-kata emak yang sedang dalam esak tangisnya. Sungguh aku tidak sangka keluargaku bisa hancur hanya kerana hancurnya gitar tua itu. Aku berusaha mengejar ayah yang entah berada di mana. Penat mencari, aku tetap tidak menjumpai ayah. Hari sudah lewat malam. Aku bermalam di surau yang berdekatan.
     Aku kembali mencari ayah keesokan harinya di bandar. Penat mencari, akhirnya pandanganku tertangkap kelibat ayah yang sedang minum pagi di sebuah warung.
     “Ayah nak jadi sehebat Slash. Buka mata dunia dengan kehebatan ayah, tapi apakan daya, impian ayah tak dimakbulkan Tuhan.”
     “Jangan salahkan Tuhan, ayah. Tuhan dah berikan ayah sebuah gitar untuk mencapai impian, tapi ayah tak berusaha meraih impian ayah. Tak semua yang kita impikan datang bergolek begitu saja.”ujarku dalam nada sayu.
     Suasana bising di warung itu tidak sedikit pun mengganggu kami untuk saling meluahkan rasa. Gitar elektrik yang setia bersamaku, aku berikan kepada ayah. Semoga pemberian itu dapat menjernihkan kembali hubungan ibu dan ayah. Semoga kehadiran gitar itu dapat mendorong ayah merealisasikan impiannya. Wajah ayah perlahan-lahan bercahaya seperti matahari yang menyinari segenap isi bumi kala menerima gitar itu. Sebuah senyuman penuh gembira lahir pada wajahnya. Mungkin aku tidak mampu memberikan gitar tua ayah kembali. Mungkin aku tidak mampu menubuhkan pancaragam seperti yang diimpikan oleh ayah, tetapi aku gembira kerana aku mampu melahirkan kegembiraan buat ayah.
     ‘Terima kasih, Ya ALLAH kerana KAU telah menolongku membuat ayah bisa tersenyum lagi. Terima kasih juga kerana telah menyatukan emak dan ayahku kembali.’

No comments:

Post a Comment